BARU-BARU ini, penyanyi antarabangsa Yuna dan juga atlet gimnastik wanita negara, Farah Ann Abdul Hadi ada menyuarakan pandangan mereka mengenai kepentingan untuk memastikan wanita terus aktif dalam bidang sukan.

Memikul tanggungjawab sebagai wanita besi melalui kerjasama dengan Pantene Malaysia, Farah Ann berharap dirinya mampu memberikan suntikan semangat dan dorongan kepada seluruh wanita di Malaysia.

Bagi mereka, setiap wanita seharusnya boleh terlibat dalam sukan tanpa sebarang kerisauan mengenai pandangan masyarakat dan tekanan kerana sukan menjadikan seseorang wanita itu bertambah kuat dan cantik secara luaran dan dalaman.

Itulah merupakan matlamat utama wanita, mereka mahu kelihatan cantik dan bersukan serta aktif dalam aktiviti fizikal dapat membantu mereka mencapai hasrat itu.

Selain jaguh skuasy Datuk Nicol David dan jaguh gimnastik Farah Ann, kita perlu melahirkan lebih ramai jaguh sukan wanita seperti perenang negara yang memenangi 22 emas Sukan SEA, Nurul Huda Abdullah.

Nurul Huda Abdullah adalah juga wanita pertama dari Malaysia untuk memenangi pingat dalam acara renang di Sukan Asia dan Kejohanan Renang Asia.

Beliau juga wanita pertama dari Asia Tenggara untuk memecah catatan lima minit bagi acara 400 meter perseorangan gaya berganti wanita dan juga memecah catatan 60 saat bagi acara 100 meter gaya bebas.

Bagi Nurul Huda, wanita perlu digalakkan untuk bersukan kerana sukan memberinya banyak kelebihan antaranya cara mengatasi cabaran, meningkatkan keyakinan diri dan sekali gus membuatkan beliau menjadi kuat.

“Ia memberi saya kelebihan daripada segi kesihatan, mendidik saya berdepan dengan cabaran dan kekecewaan dan paling penting membantu saya mengecapi segala kejayaan manis pada masa lalu,” katanya.

Jadi, untuk melahirkan lebih banyak jaguh Wanita Besi ini, membudayakan sukan dan gaya hidup cergas perlu diterapkan dalam masyarakat terutama sekali golongan wanita.

Halangan utama wanita sudah pasti tiada galakan daripada ibu bapa selain mentaliti lapuk bahawa tempat golongan hawa adalah di dapur bukan di gelanggang.

Bagi Nurul Huda, pingat emas yang digenggam adalah hasil galakan ibunya dan tanpa sokongan keluarga, beliau berasakan dirinya tidak akan mampu merangkul puluhan pingat sepanjang kariernya.

Sokongan daripada ibu bapa dan sekolah serta persatuan sukan termasuk badan kerajaan amat penting untuk terus memberi motivasi kepada golongan wanita dan generasi muda terus aktif dalam sukan.

“Sokongan padu daripada semua pihak itu kunci utama dalam kejayaan seseorang. Saya percaya dengan kerjasama semua termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan, usaha ini akan memberi kesan positif,” katanya.

Kempen gaya hidup sihat dan sukan untuk wanita di media sosial ternyata berkesan untuk membudayakan sukan dalam kalangan wanita.

Mesej yang disampaikan lebih relevan dan yang lebih dekat dengan pengguna-pengguna.

Golongan hawa kini tidak perlu bimbang dengan stigma bahawa wanita yang kelihatan maskulin atau atletik jika mereka terlibat dalam sukan.

“Kepada generasi muda dan wanita di luar sana, jangan pula takut untuk bersukan kerana tanggapan awam kalau bersukan akan jadikan kita nampak maskulin, itu tidak benar,” kata Nurul Huda.

Mengambil contoh Nicol David dan Serena Williams, sebagai contoh, kedua-dua figura itu mengecapi banyak kejayaan dalam kehidupan mereka.

“Saya melihat kedua-dua mereka sebagai individu yang kuat dan yakin. Mereka berjaya dalam sukan masing-masing dan secara tidak langsung menjadi idola kepada atlet-atlet muda,” jelasnya.

Apabila gaya hidup sihat dan kecergasan menjadi budaya golongan wanita di seluruh dunia, sudah pasti wanita suatu hari nanti akan duduk sama tinggi dengan golongan lelaki dalam bidang sukan.

Biasanya terma Wanita Besi dikatakan tidak feminin tetapi Pantene telah menterjemahkan semula frasa tersebut sebagai satu ekspresi unik bahawa kuat itu cantik.

Tiada lagi stereotaip dan ideologi seksis bahawa tempat wanita hanyalah di dapur dan frasa Wanita Besi merupakan perlambangan terbaik untuk melawan persepsi tersebut.

Memetik inspirasi daripada individu hebat seperti Nurul Huda, Pantene mengambil peluang ini untuk menggalakkan/mendorong wanita-wanita di Malaysia untuk ‘Sentiasa Kuat’, Kekal Cantik’ dan ‘Kekal Aktif dalam bidang sukan.”