BEBERAPA hari lalu, masyarakat Islam di negara ini dikejutkan dengan berita penemuan cebisan ayat al-Quran dalam alas kaki.

Berita itu tersebar meluas di laman sosial khususnya WhatsApp, dan dilaporkan berlaku di Indonesia.

Seorang guru, Kamariah Ali, bagaimanapun tergerak hati untuk memeriksa alas kaki di rumah, susulan daripada penyebaran berita itu.

Hasilnya, dia amat terkejut apabila mendapati, memang terdapat cebisan ayat al-Quran dalam alas kaki yang digunakannya di rumah.

Kamariah, dalam satu jawapan yang diberikan di ruangan komen, memaklumkan alas kaki itu dibeli di sebuah kedai harga murah di pinggir bandar.


Eco Shop Malaysia, kemudiannya telah menjalankan siasatan dan menghentikan penjualan alas kaki itu berkuat kuasa serta merta.


"Pihak kami meminta maaf kepada semua pelanggan dan ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah berniat untuk menghina mana-mana agama dan kepercayaan," kenyataan itu menyebut.

Mereka juga berharap semua pihak dapat bersabar dan memberi masa untuk siasatan dijalankan.

Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dilaporkan telah membuka kertas siasatan selepas menerima aduan rasmi daripada pengguna.

Portal Berita Harian melaporkan, JHEAT akan mengadakan operasi dan mengambil tindakan ke atas pihak terbabit.