Tutup

Cemas terima panggilan untuk ditemuduga? Ini tip terbaik untuk elak anda 'gabra'

Cemas terima panggilan untuk ditemuduga? Ini tip terbaik untuk elak anda 'gabra'
Apa yang anda perlu lakukan ketika temuduga? Ikuti langkah-langkah berikut - Astro Awani
TAHNIAH, anda dipilih untuk ditemuduga!

Teruja bukan bila kita dapat khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mail yang menyatakan kita dipanggil untuk ditemuduga?

Tetapi pasti ramai yang masih tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan dan tidak senang duduk apabila dapat peluang untuk ditemuduga terutamanya bila ia melibatkan sebuah kerjaya yang memang anda nantikan.

Namun masih ramai melakukan kesalahan dan mengetepikan perkara penting yang perlu mereka lakukan semasa menghadapi temuduga.

Berikut merupakan beberapa tip yang boleh anda lakukan bagi persediaan untuk menghadapi temuduga.

1. Latihan dan persedian

Apa yang anda perlu lakukan apabila anda mendapat tawaran untuk ditemuduga adalah anda perlu melakukan latihan dan persediaan.

Anda perlu berlatih bercakap supaya anda tidak rasa kekok semasa temuduga tersebut. Anda boleh cuba mencari soalan yang biasa ditanya semasa temuduga. Berlatih di hadapan cermin atau ahli keluarga dan rakan yang boleh membantu anda untuk membuat persiapan.
Bila anda melakukan latihan ia akan membuatkan anda bersedia untuk menghadapi hari tersebut.

Cuba untuk bercakap di hadapan cermin


2. Bersedia awal

Bersedia awal untuk menghadapi hari tersebut.

Apa yang perlu anda lakukan ialah anda seharusnya siapkan semua dokumen-dokumen yang diperlukan dan pastikan ia sudah diisi dengan betul dan lengkap selain menyemak kembali apa yang diperlukan oleh syarikat tersebut.

Seterusnya ialah memilih pakaian yang sesuai untuk temuduga. Anda perlu memakai pakaian yang sesuai dan elakkan memakai pakaian yang tidak mengikut etika semasa ditemuduga. Ingat anda bukannya ke pusat membeli belah mahupun bersantai bersama keluarga. Anda juga perlu rehat yang cukup sebelum hari temuduga. Pastikan anda juga menjaga kesihatan dan juga menjaga pemakanan anda.

Pilih pakaian yang sesuai

3. Ulangkaji mengenai syarikat, apa yang anda tahu mengenai mereka.
Sebagai calon temuduga anda perlu membuat sedikit ulangkaji mengenai syarikat yang anda ingin sertai. Anda perlu mengetahui siapa orang penting di dalam syarikat tersebut, apa yang mereka lakukan, apa kejayaan yang telah dicapai oleh mereka, misi dan nilai. Jika syarikat itu mempunyai sebuah blog dan akaun media sosial, anda boleh mendapatkan segala maklumat terbaharu di sana.

Ini akan menunjukkan anda telah memahami syarikat tersebut dan boleh menyakinkan bakal majikan anda untuk mengambil anda kerja.

Buat ulangkaji mengenai syarikat tersebut


4. Datang awal ke tempat temuduga

Ini merupakan masalah yang sangat kerap berlaku kepada calon ialah datang lambat ke lokasi temuduga. Sebagai seorang calon temuduga anda perlu hadir awal ke lokasi supaya dapat mengelakkan beberapa masalah yang anda mungkin hadapi ketika hari tersebut.

Sehari sebelum ke lokasi apa kata anda rancang perjalanan anda. Anda boleh pilih untuk menaiki kenderaan anda sendiri atau menaiki kenderaan awam. Tapi ingat anda perlu tahu jika kawasan itu mudah mengalami kesesakan lalu lintas atau tidak. Sekirannya ya, pilih jalan alternatif yang mudah atau gerak awal supaya anda tidak perlu menghadapi kesesakan lalu lintas tersebut.

Rancang perjalanan


5. Bertenang

Semasa temuduga, cuba untuk bertenang. Ingat bahawa bahasa gerak-geri anda mengambarkan siapa anda dan perasaan anda ketika itu. Persediaan yang betul akan membuatkan anda berasa yakin.

Pastikan anda menumpukan perhatian kepada setiap apa yang diperkatakan semasa temuduga supaya anda tidak lupa dan jangan sesekali memotong kata-kata penemuduga anda.

Pastikan anda menjawab soalan-soalan yang diberikan dengan tenang dan teratur. Anda boleh mengambil masa untuk menjawab ia lebih baik dari anda memulakan jawapan dengan “ums” atau “uhs.”

Bertenang ketika berada di tempat temuduga

6. Ucapan terima kasih kepada penemuduga

Selepas tamat temuduga jangan lupa untuk mengucapakan terima kasih kepada penemuduga kerana memberi peluang kepada anda. Pastikan anda meninggalkan ruangan temuduga dengan baik dan boleh membuatkan penemuduga mengingati anda.