ESOK di Hanoi, Vietnam bakal berlangsungnya perlawanan penting yang bakal menentukan juara Piala AFF Suzuki edisi 2018.

Lapan tahun menanti selepas menjulangnya buat kali pertama pada tahun 2010, tidak hairanlah seluruh rakyat Malaysia menantikan perlawanan itu dengan penuh debaran.

Apabila bercakap tentang bola sepak, semua mengetahui ia merupakan sukan yang didominasi kaum lelaki.

Di negara ini khususnya, pasukan lelaki lebih mendapat perhatian, malah penyokong juga terdiri dalam kalangan lelaki.

Tetapi jangan terkejut apabila anda melihat kehadiran wanita di stadium, atau turut sama menyaksikan perlawanan di kaca televisyen.

Astro AWANI senaraikan lima jenis wanita yang anda biasa temui, apabila masuk bab bola sepak.

1. #demiinsta

Agak pedih untuk diakui, tetapi ini adalah hakikat.

Ada sebilangan dalam kalangan wanita yang datang ke stadium, terutamanya semasa final perlawanan besar, adalah dalam golongan ini.

Suasana final yang meriah dan penuh warna warni, apatah lagi dengan memakai jersi negara, adalah sesuatu yang boleh disifatkan sebagai insta worthy material. Lagipun, bukan selalu dapat peluang merakam kenangan sebegitu, betul tak?

2. #tagalong

Yang ini memang kasihan.

Demi teman lelaki, tunang atau suami, ada yang terpaksa rela ke stadium.

Yang di rumah pula tak kurang menarik ceritanya. Bergaduh dan akhirnya mengalah dengan suami yang berkeras mahu menonton perlawanan bola sepak.

Alasan? "Drama awak tu hari-hari pun ada..."

3. #cucimata

Tak ada yang salah pun sebenarnya. Sudah fitrah wanita tentunya suka melihat lelaki yang kacak.

Ditambah pula dengan ketangkasan dan kelicikan mereka bermain bola di atas padang, ia merupakan satu karisma yang menjadi bonus, kan? (READ: Zaquan Adha)

4. #takfahamlah

"Apa yang seronoknya? 22 orang kejar sebiji bola? Tak penat ke lari sana sini?"

Itu soalan biasa yang kita dapat dengar dari mulut seorang perempuan.

Memang susah untuk membuatkan orang lain faham minat kita. Lebih susah untuk wanita memahami minat lelaki, begitu juga sebaliknya.

Pendek kata, kalaulah ditakdirkan Malaysia menang Piala Dunia satu hari nanti, golongan ini tetap akan bertanya, "So?"

5. #kakibolasejati

Come on. It's 2018. Jadi jangan terkejut jika ada wanita yang benar-benar kaki bola. Pengetahuan tentang bola sepak yang dimiliki mereka tak kurang hebat dengan lelaki. Mereka juga tidak berkira untuk ke stadium memberikan sokongan kepada pasukan kegemaran mereka. Bukan sahaja menjadi penonton, tetapi jangan terkejut kalau mereka ini sendiri turun padang dan tunjuk skil!

Apapun, kita doakan semoga Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe mempamer semangat juang tinggi malam esok, sekaligus membawa Piala AFF ke tanah air.

Selamanya Harimau Malaya ...!