Penggunaan e-dompet akan menjadi trend baharu dalam menjalankan perniagaan kecil dan besar pada masa akan datang yang akan dapat membantu merangsang ekonomi Malaysia.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew berkata sistem e-dompet dapat menyediakan transaksi yang lebih telus kepada pengguna, penting dalam mewujudkan sistem blok rantai (blockchain) di negara ini.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang tentang keselamatan data peribadi mereka kerana ia dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

"Semua firma yang memegang data peribadi orang mesti memastikan ia tidak disalahgunakan atau dijual kepada pihak lain atau tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka di bawah akta itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program e-Tunai Rakyat dengan Boost di sebuah pasar raya besar di sini pada Rabu.

Di bawah program itu, mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM100,000 setahun boleh menuntut RM30 sekali sahaja apabila mendaftar sebagai pengguna e-dompet Boost.

Boost adalah satu daripada saluran pembayaran untuk inisiatif kerajaan e-Tunai Rakyat itu selain Touch n' Go dan GrabPay.

Di Sarawak, Boost mempunyai 7,100 peniaga dan 100,000 pengguna aktif manakala di Sibu, sebanyak 17 peniaga telah mendaftarkan diri sebagai peserta dalam sistem e-dompet Boost itu.

-- BERNAMA