Tutup

Fight For Change: Satu perjuangan untuk sukan MMA, pengamal media

Fight For Change: Satu perjuangan untuk sukan MMA, pengamal media
Haresh memandang serius perlawanan ini dan telah mula berlatih keras sejak awal tahun lagi. - Foto Instagram/Haresh Deol
KUALA LUMPUR: Demi memperjuangkan nasib pengamal media tempatan, seorang wartawan dan juga editor sanggup 'mengambil risiko' untuk berdepan dengan seorang petarung profesional dalam satu acara amal. 

Pengasas bersama dan editor Twentytwo13, Haresh Deol, 37, tekad untuk melangkah masuk ke dalam gelanggang seni bela diri campuran (MMA) dan bertarung dengan Shareh Nasrullah di Fight For Change 2019.
Acara yang dianjurkan oleh Twentytwo13 dan Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA) itu bakal diadakan pada 23 November ini (Sabtu) di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut pengarang urusan Twentytwo13, Pearl Lee, objektif mereka adalah untuk memperjuangkan kebajikan wartawan-wartawan di Malaysia dengan mengadakan kutipan dana menerusi penjualan tiket dan tajaan.
"Kami ingin memperjuangkan kebajikan wartawan-wartawan Malaysia. Seperti diketahui ada rakan-rakan seperjuangan yang berkhidmat bersama organisasi yang berdepan dengan masalah kewangan dan ada juga yang telah kehilangan pekerjaan. 

"Bukan sahaja melalui hasil jualan tiket tetapi kami juga sedang berusaha untuk menjanakan wang melalui tajaan badan korporat dan individu bagi tujuan program akar umbi MASMMAA dan Journalist Welfare Fund di bawah National Press Club," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain isu media, acara 'Fight For Change 2019' turut bertujuan memperjuangkan sukan MMA terutama sekali di peringkat akar umbi dan mengubah persepsi orang ramai terhadap sukan tersebut, dengan harapan ia akan diperkenalkan di peringkat sekolah seperti taekwondo, karate dan silat.

Poster bagi acara amal 'Fight For Change' yang akan diadakan pada 23 November ini. - Foto Twentytwo13

"Kami ingin mengubah persepsi orang ramai tentang sukan MMA kerana seperti sukan-sukan seni mempertahankan diri yang lain, sukan MMA mempunyai peraturan yang amat ketat bagi kategori umur 21 tahun ke bawah," katanya lagi.

Mengulas mengenai pertarungan yang bakal berlangsung dalam acara tersebut, Pearl berkata ini merupakan pertarungan pertama Haresh di mana dia akan berlawan dengan seorang yang 10 tahun lebih muda daripadanya.

Selain itu, lawannya, Shareh juga merupakan seorang jurulatih Muay Thai dan petarung profesional yang berpengalaman. 

Bagaimanapun, menurut Pearl, Haresh memandang serius perlawanan ini dan telah mula berlatih keras sejak awal tahun lagi.


Ditanya tentang bagaimana tercetusnya idea untuk mengadakan acara ini, Pearl berkata ia bermula apabila Haresh memberitahu Shareh tentang niatnya untuk menganjurkan satu kejohanan amal, samada MMA atau Muay Thai, secara kecil-kecilan.

Namun, katanya apabila Haresh memaklumkan hasratnya itu kepada rakan-rakan sekerjanya di Twentytwo13, mereka berkeputusan untuk mengadakan acara itu secara besar-besaran dengan mendapatkan sokongan dari MASMMAA dan National Press Club of Malaysia (NPC).

Untuk rekod, Haresh merupakan timbalan presiden NPC.

"Niat untuk menganjurkan ‘Fight for Change’ juga seiring dengan misi Twentytwo13 untuk menganjurkan aktiviti sukan.

"Tahun lepas, kami menganjurkan ‘Sila Lari, Jangan Duduk 5km Fun Run’ di Padang Merbok, Kuala Lumpur bersama Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTAAA) dan tahun ini kami ingin mencuba sukan yang baru," tambahnya.

Bagi yang ingin memberi sumbangan serta menghadiri acara tersebut, tiket untuk acara amal 'Fight For Change 2019' berharga RM50 boleh diperoleh dengan menghantar email kepada editor@twentytwo13.my.





Tag: seni bela diri campuran, Fight For Change 2019, Twentytwo13, Haresh Deol, MASMMAA, Pearl Lee, MMA, National Press Club, nasib media, Shareh Nasrullah, wartawan, acara amal, Journalist Welfare Fund, seni mempertahankan diri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.