Siapa pun kita, keluarga adalah segala-galanya. Mereka sumber kebahagiaan dan keceriaan kita.

Mengambil inspirasi itu, Petronas melancarkan filem web bersempena perayaan Tahun Baru Cina, berjudul Bao Bei. Bertemakan 'Keluarga Unik Kita', ia membawa perlambangan cinta, kasih sayang dan kepelbagaian yang menjadikan sebuah keluarga itu tersendiri.

Mengetengahkan hashtag #StoriesOfJoy, filem web ini memaparkan kisah keluarga melalui perspektif kepingan kain yang dicantum bersama, masing-masing mewakili setiap ahli keluarga, membentuk sehelai selimut untuk dihadiahkan kepada ahli paling baharu dalam keluarga.

"Petronas mahu menjemput rakyat Malaysia untuk melihat kembali bagaimana perbezaan kita, seperti juga cantuman pada selimut itu, membawa kebahagiaan kepada kita.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita semua sekeluarga biarpun berbeza. Dalam masa yang sama kita tak perlu buat perkara besar untuk memberi keceriaan kepada seseorang, hanya satu perkara ringkas boleh membawa kebahagiaan," kata Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman.

"Selimut ini dahulunya merupakan satu tradisi keluarga masyarakat Cina di mana ia akan dihadiahkan kepada bayi yang baru dilahirkan dalam keluarga.

"Kami mahu imbau kembali tradisi ini terutama sekali kerana ramai generasi baru yang tidak mengetahui tentangnya. Tetapi mesej utama adalah bagaimana kepelbagaian karakter dalam sesebuah keluarga itulah yang membawa keceriaan dan apabila kita penerima kepelbagaian itu, bahagia akan datang,' kata pengarah filem web ini, Ismail Kamarul.

Mereka ditemui pada majlis pelancaran 'Bao Bei' di ibu negara, pada Sabtu.

Filem web berdurasi 2 minit 12 saat itu sudah boleh ditonton di kesemua platform media sosial Petronas, dan akan ditayangkan di televisyen bermula 19 Januari hingga 1 Februari depan.