Gasing pangkah antara permainan tradisi Melayu yang semakin dilupakan generasi muda hari ini.

Namun berbeza di Spaoh, permainan ini kembali mendapat tempat di hati anak muda di situ.

Malah, aktiviti bermain gasing pangkah menjadi rutin bagi mereka untuk mengisi masa lapang terutamanya di waktu petang.

Bagi Penasihat Kelab Pangkah Gasing Spaoh, KR Abang Suhordie Abang Zaini, permainan ini pernah mengecapi zaman kegemilangannya di pekan kecil itu pada satu masa dahulu sebelum tenggelam kerana lambakan permainan moden.

Kini ia kini kembali diangkat generasi muda di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Kita ingin mengembalikan kegemilangan sukan tradisional ini di Spaoh. Tujuannya untuk menggalakkan generasi muda untuk terus bergiat memartabatkan tradisi warisan ini.

“Ia juga untuk menggelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Menurut pengerusi kelab tersebut, Abang Hendi Abang Zaini, anak muda Spaoh bukan hanya cekap bermain gasing pangkah malah mahir dengan ilmu pembuatannya

“Gasing ini diperbuat daripada kayu keras seperti Tapang Bani, Tapang Bani Menggeris, Kajang, Bani Hutan ataupun jenis kayu Banyit.

“Kayu jenis Banyit ini sangat jarang didapati di Sarawak,” ujarnya.

Terdapat beberapa jenis gasing yang cukup sinonim dengan masyarakat di daerah itu. Antaranya gasing payong, gasing ladong, gasing pedado, gasing bugo dan gasing piring.

Ketahanan gasing bergantung pada keseimbangan pembuatan khasnya dari segi kelajuan dan kekuatan.

Abang Hendi mengharapkan kemahiran bermain dan membuat gasing dikekalkan demi kelangsungan adat warisan yang menjadi identiti pekan berkenaan.