IKON pereka fesyen popular negara Datuk Rizalman Ibrahim berbesar hati apabila memiliki platform untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang dikutipnya sepanjang 25 tahun berkecimpung dalam industri fesyen tanah air.

Beliau yang dilamar untuk terlibat dalam rancangan terbaru Generasi Fesyen (Gen F), yang berperanan sebagai juri tetap dijangka akan menyumbang kepakaran dan kritikan tehadap hasil produk pereka fesyen tempatan.

Beliau menjelaskan menjadi seorang pereka fesyen mungkin kedengaran sebagai suatu pekerjaan yang glamor namun menggalas tanggungjawab yang amat besar terhadap pertumbuhan ekonomi dan masyarakat tempatan.

Rizalman menegaskan setiap pereka fesyen harus mempunyai ilmu kerana itulah yang akan menjadikan seorang individu bertahan di dalam industri memandangkan rupa paras, populariti dan kekayaan adalah sandaran yang sementara.

“Industri fesyen mengalami satu pertumbuhan yang tidak sihat apabila saya tidak jumpa seorang pereka fesyen yang boleh menjadi pelapis untuk generasi seterusnya.

“Kini melalui program ini, akhirnya saya boleh berkongsi segala yang saya pendamkan di hati supaya saya boleh pergi dari industri ini dengan tenang kerana mengetahui ada yang akan menyambung tugas saya selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sidang akhbar rancangan realiti fesyen pertama di Malaysia,Gen F terbitan Astro.

Turut terlibat menjayakan rancangan ini ialah Vivy Yusof sebagai mentor dan aktor Hisyam Ahmad yang akan mengacarakan rancangan ini selama lapan minggu bersiaran.
Program realiti fesyen ini akan  menampilkan 10 jenama pereka fesyen tempatan yang akan bersaing untuk memenangi hati juri seterusnya melonjakkan hasil karya mereka ke peringkat antarabangsa.
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, rancangan ini merupakan antara usaha untuk mengangkat industri kreatif negara disamping memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat dan kreativiti mereka.

Program realiti fesyen ini akan menampilkan 10 jenama pereka fesyen tempatan yang akan bersaing untuk memenangi hati juri seterusnya melonjakkan hasil karya mereka ke peringkat antarabangsa.

Peserta perlu menyelesaikan beberapa tugasan dan cabaran mingguan dengan menghasilkan rekaan paling kreatif dalam tempoh 30 jam.

Pemenang akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 sumbangan Astro dan koleksi kapsul tajaan FashionValet.

Rancangan ini akan menemui penonton pada hari Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria bermula 11 Mac nanti.