Gunung Annapurna adalah antara tiga gunung yang paling tinggi dan berbahaya di dunia.

Pendaki Gunung Everest, Ahmad Fakhri Abu Samah yang juga merupakan rakyat Malaysia pertama yang mendaki tujuh gunung tertinggi di dunia pada 2012 berkongsikan pengalamannya menghadapi cabaran getir pendakian.

"Gunung Annapurna adalah salah satu gunung yang melebihi paras ketinggian 8,000 meter dan jika dilihat dari aspek kepayahan pendakian, Gunung Annapurna 1 yang didaki oleh pendaki Malaysia tersebut adalah gunung yang mempunyai ketinggian risiko kematian.

"Jika dibandingkan dengan Gunung K2 atau Gunung Nanga Parbat. Yang mana tiga gunung ini adalah paling susah dalam 14 gunung yang tertinggi di dunia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis, untuk mengulas tentang berita mengenai insiden pendaki Malaysia yang dilaporkan terkandas di laluan pendakian itu.

Fakhri yang juga pernah mengetuai ekspedisi Gunung Everest menegaskan bukan sahaja persiapan dari segi fizikal dan mental itu penting, malah keadaan cuaca semasa turut memainkan peranan semasa pendakian.

Fakhri yang juga pernah mengetuai ekspedisi Gunung Everest menegaskan bukan sahaja persiapan dari segi fizikal dan mental itu penting, malah keadaan cuaca semasa turut memainkan peranan semasa pendakian. -Gambar fail

"Gunung Annapurna 1 cenderung berlakunya salji runtuh begitu juga dengan K2 dan mungkin perkara sama tidak kerap berlaku di Gunung Everest kerana ia bergantung kepada tuntutan gunung itu sendiri yang sentiasa berbeza-beza.

"Selain daripada keperluan yang wajib iaitu persediaan fizikal dan mental, kadang-kadang faktor jurupandu yang amat mahir di kawasan gunung yang membawa pendaki yang berhasrat untuk mendaki gunung itu juga penting," jelasnya.

Fakhri turut berkongsikan statistik, sejak 2012, lebih kurang 52 kematian pernah direkodkan di Gunung Annapurna 1 berbanding di Gunung K2 dengan lebih 30 kematian.

Fakhri turut berpendapat faktor kehilangan pendaki Malaysia berhampiran puncak Gunung Annapurna adalah disebabkan keletihan melampau.

BACA: Pendaki Malaysia terkandas di Annapurna

"Dalam situasi ini antara fakta yang perlu diketahui adalah apabila seseorang pendaki menghabiskan masa 30 hari untuk melengkapkan satu-satu pendakian, maknanya tenaga telah diguna pakai secara maksimum.

"Untuk sampai ke puncak menggunakan bantuan oksigen dan tenaga telah habis digunakan sepenuhnya untuk ke puncak.

"Untuk turun juga memerlukan tenaga yang lebih dan berdasarkan rentetan fakta yang dilaporkan pihak media, kemungkinan keletihan melampau adalah punca dia terpisah dengan ahli kumpulannya," jelasnya.