INSTAGRAM secara diam-diam telah memulakan proses membuang ikon IGTV yang terletak di bahagian atas feed pengguna, lapor CNN.

Hal yang demikian kerana pengguna tidak mengklik butang tersebut, akui Instagram dalam satu kenyataan.

"Kami terus berusaha untuk memudahkan pengguna membuat dan menemui kandungan IGTV, tetapi dalam masa yang sama kami mendapat tahu bahawa kebanyakan pengguna menemui kandungan IGTV melalui feed preview, saluran IGTV dalam Explore dan profil pemilik akaun.

"Sangat sedikit bilangan pengguna yang mengklik ikon IGTV di sudut kanan atas skrin utama," kata seorang jurucakap.

Syarikat milik Facebook itu memulakan IGTV pada 2018 dalam usaha untuk bersaing dengan YouTube.

Ia membolehkan pengguna menyiarkan video secara menegak dengan durasi video bergantung pada jumlah pengikut yang ada, tetapi durasi maksimum adalah satu jam.

Sebelum IGTV, Instagram hanya membenarkan pengguna memuat naik video berdurasi 60 saat atau lebih pendek.

Penganalisis sebelum ini memberitahu CNN Business bahawa IGTV tidak begitu berjaya seperti Stories.

Malah, ramai selebriti berprofil tinggi, termasuk Kim Kardashian West, dilihat tidak kerap menggunakan kemudahan tersebut.

Beberapa influencer media sosial mengatakan sebab utama IGTV tidak popular adalah kerana ia tidak membolehkan mereka mendapatkan pulangan wang daripada ciri tersebut.

Di YouTube, video yang sama panjang boleh disertakan iklan yang memberi pendapatan kepada pemiliknya.

TikTok, sebuah aplikasi perkongsian video, dilihat lebih disukai ramai apabila meraih kira-kira 700 juta muat turun pada tahun 2019, berbanding hanya 6 juta untuk IGTV.