PENGELUAR telefon terkemuka, Apple, dikatakan sedang membuat kajian untuk mengeluarkan iPhone foldable yang boleh dilipat di bahagian tengah, seperti sebuah buku.

Menurut laporan portal The Sun, versi iPhone itu kini di peringkat akhir kajian dan ia dikatakan mendapat reaksi positif dalam kalangan pengurusan tertinggi syarikat gergasi itu.

Portal berkenaan memetik kenyataan seorang sumber, Wamsi Mohan, seorang penganalisis teknologi dan kejuruteraan di Wall Street yang memaklumkan telefon itu akan berada di pasaran selewat-lewatnya pada tahun 2021.

"Mereka (Apple) juga sedang membincangkan untuk mereka telefon itu supaya ia boleh digunakan sebagai tablet juga," kata Mohan.

Seorang lagi penganalisis, Daniel Ives berkata iPhone versi boleh lipat itu tidak akan menjadi produk utama Apple, sebaliknya hanya tambahan untuk memberi variasi kepada produk sedia ada.

"Telefon versi boleh dilipat ini dijangka akan mendapat perhatian, terutamanya bagi mereka yang gemar menonton filem atau bermain game, memandangkan ia mempunyai paparan skrin yang boleh dibesarkan.

"Dalam masa yang sama, ia juga kecil apabila dilipat," kata Ives.

Jika benar, Apple bukan syarikat pengeluar telefon pertama yang memikirkan versi telefon seumpamanya.

Samsung dan LG sebelum ini pernah mendedahkan mereka juga sedang menjalankan kajian untuk mengeluarkan telefon serupa.