PENGASAS dan pemilik IKEA, Ingvar Kamprad mempunyai aset bernilai lebih AS$40 billion (RM163.4 billion).

Pendek kata, dia mampu membeli apa sahaja yang diingininya.

Namun, jutawan itu mendedahkan tabiatnya membeli pakaian terpakai dalam satu dokumentari terbitan stesen televisyen Sweden.

“Saya rasa saya tidak pernah memakai pakaian yang tidak dibeli di pasar lambak. Saya mahu tunjukkan contoh yang baik,” jelasnya kepada saluran TV4 Sweden.

Tabiat berjimat-cermat yang diamalkan oleh Ingvar menyumbang kepada kejayaan IKEA untuk menjadi salah satu jenama paling dikenali di dunia.

Penjimatannya tidak terhenti pada pakaian. Ingvar juga menjelaskan dia akan cuba mendapatkan harga termurah untuk menggunting rambut.

“Saya biasanya akan memotong rambut ketika saya berada di negara membangun. Kali terakhir di Vietnam,” tambahnya.

Ingvar Kamprad kini menetap di Sweden dan menyerahkan kebanyakan urusan IKEA kepada tiga anaknya yang mewarisi perniagaan.

IKEA diasaskan oleh Ingvar Kamprad kira-kira 73 tahun yang lalu dan kini mempunyai 381 cawangan di seluruh dunia.

Jenama IKEA merupakan akronim bagi Ingvar Kamprad Elmtaryd (nama ladang tempat Ingvar membesar) Agunnaryd (tempat kelahiran Ingvar di selatan Sweden).