Pelbagai ragam dan cara dilakukan bagi meraikan sambutan tahun baharu supaya ia menjadi kenangan membuka tirai tahun 2018.

Di Indonesia, ratusan pasangan memilih untuk melangsungkan perkahwinan serentak pada malam tahun baharu.

Seramai 437 pasangan berkumpul di kawasan tempat letak kereta di jalan utama Jakarta bagi melangsungkan perkahwinan mereka, disaksikan ahli keluarga serta orang ramai.

Kesemua pasangan pengantin ini berusia antara 25 dan 49 tahun dengan latar belakang dari keluarga miskin.

Majlis perkahwinan berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran Gabenor Jakarta, Anies Baswedan yang menyifatkan penganjurannya merupakan satu tanggungjawab kerajaan untuk membantu orang susah melangsungkan perkahwinan mereka.

“Ini adalah peluang bagi kami memenuhi sebahagian daripada kewajipan kerajaan untuk memastikan rakyat Jakarta mendapat pengiktirafan sebagai pasangan yang sah, mendirikan sebuah keluarga,” ujarnya.

Indonesia mempunyai populasi Islam terbesar di dunia.

Setiap pasangan dinikahkan oleh Penghulu, Ketua Kapung atau Ketua Agama.