Dengan hanya bermodalkan lebihan kain dan kemahiran yang dimiliki, pemilik jenama Ngesep, Farida Abdul Halim berjaya mencipta kelainan tersendiri dalam industri kraftangan.

Idea yang tercetus dari bahan buangan itu diaplikasikan dalam setiap pembuatan kraftangan yang menjadi identiti jenama tersebut.

Menurut Farida, ilham untuk menginovasikan lebihan kain itu datangnya dari hobi menjahit.

“Pernah terlintas di fikiran, mengapa lebihan fabrik dari kedai-kedai ataupun dari bahan jahitan tidak digunakan semula?

“Dari situ munculnya idea untuk melakukan sesuatu daripada bahan-bahan tersebut. Penyelidikan mengenai bahan kitar semula dijadikan sebagai rujukan untuk menginovasikan sesuatu kraftangan,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.


Antara produk keluaran Ngesep keluaran Ngesep yang dipelbagaikan dengan corak menarik. -Gambar Astro AWANI

Farida menambah, perbincangan bersama anak didiknya juga membantu dalam merealisasikan misi tersebut.

“Apabila bercakap mengenai kraftangan seperti yang dikeluarkan oleh Ngesep, mungkin ada yang ragu-ragu sekiranya ia dapat memasuki pasaran.

“Tetapi oleh kerana inovasi ini sesuatu yang baharu, maka orang ramai menyambut baik inisiatif ini,” kongsinya.

Bahan kitar semula menjadi elemen utama penghasilan produk Ngesep. -Gambar Astro AWANI

Beliau yang mula berkecimpung secara aktif menggiatkan jenama Ngesep sejak 10 tahun lalu tidak menyangka langkah itu kini berjaya menarik minat pelanggannya untuk bersama-sama terlibat dalam projek mengurangkan sisa buangan kain.

Ini termasuk pelancong luar yang menjadikan kraftangannya sebagai cenderamata.

Bercerita lanjut, operasi perusahaan Ngesep turut dibantu ahli Persatuan Kraftangan Sarawak khasnya ketika pameran dan ketika menerima tempahan pelanggan.

Dalam pada itu, melihat kepada situasi semasa COVID-19, Farida turut membantu belia dengan menyediakan peluang pekerjaan khasnya bagi mereka yang berminat untuk berkecimpung dalam industri kraf negara.

“Apa yang saya lakukan buat masa ini adalah melatih beberapa gadis yang terdiri daripada penuntut Kolej Vokasional.

“Mereka dilatih untuk menghasilkan produk yang berkualiti memenuhi standard dan kehendak pasaran,” beritahunya kepada wartawan.

Farida optimis, produk yang dihasilkan Ngesep mempunyai masa depan cerah dan dapat membangunkan industri ekopelancongan negara.

Ketika ini, jenama tersebut giat menghasilkan cenderahati untuk mana-mana acara sosial terutamanya yang melibatkan pelancongan domestik negeri itu.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !