REMAJA yang tular selepas rakaman dia mencuri tip dari seorang pemandu Uber tersebar, merayu netizen supaya menghentikan kritikan terhadapnya.

Minggu lalu, rakaman dari kamera yang diletakkan di dalam kereta, tersebar di laman Reddit, sebelum menjadi tular.

Dalam rakaman itu, seorang gadis remaja yang kemudiannya dikenali sebagai Gabrielle Canales, dari Long Island, New York, dilihat mencuri wang tip atau upah yang diletakkan di tepi kerusi pemandu.

Selepas identitinya dikenal pasti, Canales diserang netizen di laman sosial, apatah lagi dia seolah-olah tidak menunjukkan rasa menyesal atas tindakannya itu, berdasarkan beberapa foto dan kapsyen yang dimuat naik ke Instagram.

Namun dalam satu temubual dengan portal Buzzfeed, Canales memberitahu insiden berkenaan berlaku pada bulan Ogos lalu dan sudah menyesal dengan perbuatan itu.

Malah, remaja berusia 18 tahun itu juga mengakui telah membayar balik wang yang dicurinya, berjumlah AS$5 (RM20).

"Insiden itu sudah lebih dua bulan berlaku. Saya sudah lama menyesal dan sedar perbuatan saya itu salah.

"Saya memuat naik status yang mempersendakan rakaman itu kerana geli hati ia tular selepas dua bulan. Ia tidak bermakna saya tidak menyesal," kata Canales.

Tambah Canales, dia kecewa apabila dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, apatah lagi bayaran balik kepada pemandu itu telah dibuat sebelum video berkenaan tular.

"Saya tidak perlukan publisiti buruk untuk sedar yang perbuatan saya salah. Saya sudah pulangkan wang itu kembali kepada pemandu terbabit sebelum rakaman tersebut tular," katanya.

Canales juga mengakui rakaman itu menyebabkan dia menjadi mangsa buli siber, selain turut menerima ugutan bunuh dan gangguan seksual.

"Saya sedar kesilapan saya tapi itu tidak bermakna mereka (netizen) boleh memperlakukan saya sesuka hati.

"Kasihanilah saya. Saya minta maaf dan saya harap masyarakat dapat beri saya peluang kedua," kata Canales.