Sejak 2009, Aloysius Taidin, menerima tempias populariti Peninju Filipina, Manny Pacquiao kerana memiliki wajah yang mirip legenda itu.

Setiap kali ke Pekan Keningau, Tambunan mahupun Kota Kinabalu, Aloysius sering disapa dengan panggilan Pac Man iaitu panggilan buat Manny Pacquiao.

Benar, jika dilihat sekali imbas, raut wajah Aloysius saling tidak tumpah dengan Pacquiao.

“Ekoran populariti Pac Man, hingga menerima pujian dan kritikan peminatnya saya mengambil keputusan menutup akaun Facebook.

“Saya tidak mahu menumpang popularity Pac Man. Saya tetap Aloysius si penoreh getah,” katanya ketika ditemui pemberita Astro AWANI di Kampung Kabatang Baru, Sook di sini baru-baru ini.

Bapa kepada empat anak itu yang mempunyai ketinggian 155 sentimeter hanya bekerja sebagai penoreh getah sejak tahun 2009 sehingga kini bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Ditanya sama ada mengenali Pacquiao, Aloysius berkata, dia pernah menonton perlawanan Pac Man dengan Miguel Cotto tetapi tidak menyedari memiliki mirip wajah yang sama.

“Namun apabila seorang penduduk dari Tambunan menegur dan bertanyakan adakah saya Manny Pacquiao, saya hanya menyatakan mungkin sudah takdir,” katanya.

Aloysius ditemui Astro AWANI di rumahnya di Kampung Kabatang Baru, Sook baru-baru ini. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli
Usaha Astro AWANI untuk mendapatkan 'Pacquiao Sabahan' ini juga tidak semudah yang disangka, apabila jarak perjalanan ke Kampung Kabatang Baru, Sook memakan masa hampir empat jam dari kota kinabalu.

Lebih merumitkan apabila Aloysius juga tidak mempunyai telefon bimbit untuk berhubung.

Aloysius ditemui Astro AWANI di rumahnya di Kampung Kabatang Baru, Sook baru-baru ini. - Foto Astro AWANI/Ruzaini Zulkepli

Bercerita mengenai sama ada berminat dengan sukan tinju, Aloysius yang lahir pada 20 september 1973 itu berkata, beliau sememangnya meminati sukan mempertahankan diri tetapi lebih kepada sukan kickboxing.

Aloysius bagaimanapun berharap, tuah itu juga dapat membantu merubah kehidupan keluarganya yang disifatkan sebagai kais pagi makan pagi memandangkan hanya beroleh pendapatan RM300 sebulan sahaja dengan hasil sekerap getah.