BINTANG Manchester United, Paul Pogba, mendedahkan dia mempersoalkan banyak perkara sebelum akhirnya memilih untuk kembali mengamalkan ajaran Islam.

Tidak dibesarkan dengan ajaran Islam biarpun ibunya beragama Islam, Pogba mengakui merasa hilang arah kerana dibelenggu beberapa masalah sejak kebelakangan ini, dan menemui ketenangan selepas kembali kepada Islam.

"Menjadi seorang Muslim membawa semua erti dalam hidup saya. Ia membuat saya lebih bersyukur.

"Ia menyedarkan saya tentang banyak perkara dan menenangkan saya," kata Pogba dalam satu temuramah yang disiarkan secara podcast oleh The Times.

Ramadan lalu, Pogba ke Tanah Suci menunaikan ibadah umrah, dan walaupun ia bukan kunjungan pertama, pemain tengah itu menyifatkan ia membawa perubahan besar dalam dirinya.

"Saya mula melakukan penyelidikan sendiri. Saya berdoa bersama rakan-rakan lain dan saya merasakan perbezaan yang positif.

"Sejak itu saya terus lakukannya. Anda kena solat lima kali sehari, itulah tiang agama Islam.

"Islam membuka fikiran saya mengenai kehidupan akhirat. Ia buat saya jadi manusia yang lebih baik," ujarnya.