Tutup

Kerjasama ERAMAN, OURSHOP tingkat pengalaman beli-belah ketika mengembara

Kerjasama ERAMAN, OURSHOP tingkat pengalaman beli-belah ketika mengembara
Menyedari sektor e-dagang semakin berkembang dengan pesat dalam ekosistem pasaran runcit dan bebas cukai, ERAMAN mengambil langkah agar ia tidak ketinggalan dalam menyediakan kemudahan dan mengikuti trend terkini.
SEPANG: Jenama bebas cukai lapangan terbang, ERAMAN dan platform beli-belah dalam talian AirAsia, OURSHOP menjalinkan kerjasama strategik yang membolehkan penumpang menerima barangan ditempah di laman ourshop.com apabila tiba di lapangan terbang.

Menerusi kerjasama itu, sebuah lokasi 'pick up point' khusus diwujudkan di premis ERAMAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk kemudahan tersebut.

ERAMAN pada masa sama akan menerima manfaat seperti akses kepada trend penumpang serta destinasi berlepas dan ketibaan mereka, yang membolehkannya mensasarkan pemasaran dan pemilihan produk yang lebih tepat.

Manakala para tetamu yang membuat pembelian di ourshop.com boleh mengumpul mata ganjaran AirAsia BIG yang boleh digunakan untuk menebus penerbangan percuma di airasia.com.
Selain menikmati kemudahan membeli menggunakan peranti mudah alih, para tetamu juga boleh menikmati ketenangan fikiran apabila membuat pembelian daripada peruncit atau jenama rasmi, sekali gus mengenepikan keraguan mengenai keaslian produk yang secara tradisinya telah menjejaskan sektor e-dagang.

Menurut Pengurus Besar ERAMAN, Zulhikam Ahmad, inisiatif ini tepat pada masanya tatkala ERAMAN melalui fasa penjenamaan semula baru-baru ini, yang pada ketika ini komited untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih baik buat tetamu.

"Kami sedar sektor e-dagang semakin berkembang dengan pesat dalam ekosistem pasaran runcit dan bebas cukai. Justeru, ERAMAN mengambil langkah ini agar kami juga tidak ketinggalan dalam menyediakan kemudahan dan mengikuti trend terkini," katanya.

Bagi Pengurus Besar Kanan Perkidmatan Komersil Malaysia Airports, Mohammad Nazli Abdul Aziz, kerjasama antara pemain utama negara dalam industri peruncitan pelancongan akan memupuk keterujaan membeli-belah buat semua pelancong yang melalui pintu keluar/masuk di lapangan terbang.

"Ini hanyalah salah satu daripada pelbagai lagi aktiviti menarik dan inisiatif kami lakukan di bawah Strategi Penetapan Semula Komersil Malaysia Airports.

"Kami ingin para tetamu gembira ketika berada di lapangan terbang; dan dengan berbuat demikian, kami berharap dapat mengubah persepsi bahawa lapangan terbang bukan sahaja sebuah hab untuk menghubungkan antara destinasi, malah ia juga sebuah tempat untuk menikmati tawaran beli-belah yang pelbagai - sama ada secara fizikal atau digital," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar OURSHOP, Hassan Choudhury berkata pihaknya berharap platform e-dagang itu dapat bekerjasama dengan lebih banyak syarikat untuk mengubah pengalaman membeli-belah di lapangan terbang.

“Pengalaman membeli-belah yang kebiasaannya mengambil masa selama 20 minit ketika para tetamu sibuk menuju ke pintu berlepas kini ditawarkan tanpa henti selama 365 hari," kata Choudhury.