Baru-baru ini video perlakuan kejam dua orang lelaki yang menyumbat kucing ke dalam pengering pakaian hingga menyebabkan haiwan itu mati mendapatkan kecaman netizen.

Hal ini turut mendapat perhatian daripada Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid, yang meluahkan rasa sedih dan juga marah terhadap tindakan dua lelaki terbabit.

Menurutnya, pelaku yang tidak bertanggungjawab itu turut disifatkan mempunyai masalah mental sekali gus wajar menerima khidmat kaunseling.

"Pelaku kes ini perlu diberikan sesi kaunseling kerana berkemungkinan mereka mempunyai masalah mental dan memerlukan perhatian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BERITA BERKAITAN: Kenapa kejam sangat! Budak tergamak campak anak anjing untuk habuan buaya

Dalam pada itu, Khalid turut menegaskan bahawa pelaku yang tidak bertanggungjawab itu wajar dikenakan hukuman tegas bagi menjadi iktibar kepada orang lain.

"Hukuman berat wajar dilakukan ke atas penganiayaan haiwan selain mengenakan denda yang tinggi bagi menjadi ikhtibar kepada diri pelaku dan orang lain.

"Seekor kucing adalah makhluk bernyawa serta perlu disayangi dan tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Dua individu bertindak tidak berperikemanusiaan telah membunuh seekor kucing betina terbiar yang dipercayai sedang bunting dengan memasukkannya ke dalam sebuah mesin pengering di sebuah kedai dobi di Taman Gombak Ria, semalam.

Rakaman yang berdurasi selama dua minit 50 saat itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dobi berkenaan.

Bangkai kucing tersebut ditemui seorang pelanggan dalam keadaan yang amat menyedihkan dengan berlumuran darah.