Jumlah kes kesihatan mental di pulau bebas cukai ini menunjukkan peningkatan mendadak dari 2013 hingga tahun lepas, sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Statistik Jabatan Kesihatan Labuan menunjukkan jumlah pesakit pada 2013 seramai 614 orang meningkat kepada 1,310 pada 2016, iaitu peningkatan sebanyak 113.35 peratus.

Angka 2016 itu juga menunjukkan peningkatan 30.6 peratus berbanding 1,003 pesakit yang direkodkan pada 2015.

Dalam kenyataannya kepada Bernama, jabatan itu menjelaskan jumlah kanak-kanak di bawah 10 tahun dengan sakit mental seperti autisme, masalah pembelajaran, gangguan pemusatan perhatian dan hiperaktif (ADHD), kecacatan akal dan masalah tingkah laku, pada tahun lepas adalah 196 kes.

Remaja dengan gangguan mental seperti krisis keremajaan dan kemurungan yang berumur antara 10 dan 19 tahun pula merekodkan 144 kes.

Orang dewasa antara umur 20 dan 59 tahun dengan pelbagai masalah mental pula mencatatkan 801 kes manakala orang dewasa berusia 60 tahun ke atas yang mengalami gangguan kebimbangan, kemurungan dan dementia pula sebanyak 169 kes.

Menurut kenyatan itu, jabatan menerusi Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental ada menyediakan perkhidmatan seperti rawatan psikiatri komuniti, klinik kaunseling, rawatan pakar kepada banduan dan rawatan pakar klinik kesihatan Labuan.

-- BERNAMA