Tutup

Kritik nasi lemak, wartawan The Telegraph mohon maaf

Kritik nasi lemak, wartawan The Telegraph mohon maaf
Wartawan The Telegraph itu memaklumkan tidak mempunyai niat memperkecilkan apatah lagi menghina nasi lemak.
SELEPAS dikecam ramai gara-gara ciapan mengkritik nasi lemak sebagai hidangan paling teruk, Katie Morley akhirnya memohon maaf.

BACA: Gara-gara tak kena dengan tekak, 'nasi lemak' trending di media sosial

Wartawan The Telegraph itu memaklumkan tidak mempunyai niat memperkecilkan apatah lagi menghina nasi lemak yang dianggap hidangan kebangsaan negara ini, sebaliknya membuat penilaian itu berdasarkan hidangan yang disediakan dalam penerbangan British Airways (BA).

"Ramai rakyat Malaysia menghubungi saya dan memberitahu nasi lemak merupakan hidangan kebangsaan yang popular. Saya tidak pernah merasai masakan itu sebelum ini dan tidak berniat menghina mana-mana pihak.
"Seperti yang telah dinyatakan, saya dihidangkan dengan versi yang kurang baik oleh BA. Saya pasti ia sedap dan berharap dapat cuba masakan yang sebenar satu hari nanti!" tulisnya dlm satu ciapan di Twitter malam tadi.


Sebelum ini, Morley mengkritik hidangan nasi lemak yang dihidangkan BA dalam satu penerbangan yang mengambil masa selama 13 jam.
"Kari ayam dengan telur rebus, ikan bilis berlendir. Kebiasaan saya menyukai makanan dalam pesawat, tetapi ini adalah 0/10," tulisnya.

Ia mengundang kemarahan netizen khususnya dari Malaysia dan menganggap Morley tidak peka serta sensitif dengan makanan kegemaran masyarakat di Asia.