TARIAN tradisional negara ini ternyata mempunyai kelas dan standard antarabangsa.

Ini dibuktikan dua penari tempatan, Nur Syafiqah Najwa Jefri dan Ahmad Zaidyansjah Ruddyanjah yang berjaya memartabatkan tarian itu sehingga layak ke final Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Long Beach, California, Amerika Syarikat.

Dalam pusingan kelayakan, Syafiqah dan Zaidy mempersembahkan lima jenis tarian bagi kategori tarian etnik, kontemparari, terbuka dan teater muzikal.

Selepas layak ke peringkat separuh akhir semalam (5 Julai), pasangan berusia 21 tahun itu mempertaruhkan tarian kuda kepang dan berjaya layak ke pusingan akhir.

Syafiqah & Zaidy di hadapan Westin Long Beach, California. - Foto kredit Lim Jia Ying

Mereka akan sekali lagi mempersembahkan tarian kuda kepang pada final yang akan berlangsung di Long Beach Convention and Entertainment Center pada 7 Julai ini.

Syafiqah dan Zaidy merupakan graduan Diploma Seni Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Mereka dibimbing koreografer Fairul Zahid dari Asia Duo Dance Company.

WCOPA adalah kejohanan bakat yang mengumpulkan penyanyi, penari, pelakon, ahli muzik dan model dari lebih 60 negara.

14 peserta Malaysia mencuba nasib untuk menjadi juara dalam kejohanan yang dianggap sebagai sebagai ‘Olimpik Pencarian Bakat’ itu.

Seorang lagi peserta Malaysia yang layak ke final adalah Jack Lim yang bertanding dalam kategori instrumental junior.

Anda boleh saksikan grand final WCOPA secara langsung melalui live streaming di www.wcopa.com pada 8 Julai, 10 pagi waktu Malaysia.

Syafiqah semasa separuh akhir WCOPA - Foto kredit Lim Jia Ying