Pulau Pangkor yang kini berstatus pulau bebas cukai antara destinasi pelancongan terkemuka kerana selain keindahannya, ia mempunyai beberapa peninggalan sejarah antaranya Kota Belanda di Teluk Gedung.

Namun, kunjungan ke pulau itu ibarat tidak lengkap jika tidak menikmati makanan 'signature' yang cukup terkenal kerana keunikan serta kelazatannya iaitu laksa mi Pangkor.

Berbeza dengan laksa utara atau asam laksa, laksa mi Pangkor ini menggunakan mi khas berwarna putih dihidang dengan sup ikan, sotong, udang atau ketam yang jernih selain sambal serta sayur tumis selalunya kacang panjang dan lobak sebagai pelengkap.

Menurut seorang peniaga di Teluk Gedung, Noraimi Hashim, 48, beliau kini menyambung perniagaan laksa mi warisan ibu saudaranya yang diusahakan sejak 30 tahun lalu kerana merasakan makanan tradisi penduduk pulau itu wajar dikekalkan.

"Laksa mi antara menu sarapan wajib penduduk, sama ada yang dewasa ataupun kanak-kanak memang suka makan. Pelancong pun ramai cuba apabila diberitahu kalau datang Pangkor kena cuba," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Berkongsi cara penyediaan, Noraimi berkata ia amat mudah berbanding penyediaan laksa jenis lain, beliau terlebih dahulu merendam mi laksa kering seawal pukul 4.30 pagi sebelum merebusnya selama 40 minit atau sehingga lembut dan mula berjualan seawal 7 pagi hingga tengah hari.

"Selepas itu, cuci dan tos beberapa kali untuk hilangkan rasa kapur pada mi yang dijual dalam paket 250 gram setiap satu dan ia sukar didapati di kedai-kedai biasa. Setiap hari saya menggunakan sehingga 15 paket terutama kalau hujung minggu atau hari cuti," katanya.

Mengenai sup yang disajikan di gerai Mak Uda, ibu empat anak itu berkata beliau lebih gemar menggunakan udang kerana rasanya yang manis selain turut menyediakan kuah laksa biasa sebagai pilihan kepada pelanggan

"Tak sukar untuk masak sup ini kerana ikan, ketam atau udang hanya direbus dengan asam keping dan letak garam," katanya sambil menambah bekalan diperoleh dari pasar pagi di pulau itu.

Menurut Noraimi, keistimewaan yang memberikan rasa berbeza pada laksa mi itu adalah sambal yang ditumis darat selain sayur tumis mengikut citarasa masing-masing termasuk tahap kepedasan.

Bercerita keistimewaan laksa air tangannya, Noraimi berkata di pulau peranginan itu hanya gerai Mak Uda menghidangkan laksa mi dengan telur rebus separuh masak sebagai pilihan kepada pelanggan dengan harga RM3 sepinggan.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan Normala Shamsuddin, 36, berkata setiap kali sarapan, laksa mi adalah pilihannya, malah ia menjadi ikutan dua anaknya yang berumur tujuh dan 11 tahun.

Menurut pembantu tadbir itu, laksa mi juga hidangan wajib setiap kali hari raya di kebanyakan rumah di Pangkor.

"Kalau ada kawan-kawan dari luar datang ke Pangkor, memang akan suruh cuba laksa mi ini sebab ia tiada di tempat lain," katanya yang gemar meletakkan kicap pada hidangan itu.

--BERNAMA