SEBUAH mahkamah Sepanyol minggu ini telah menjatuhkan hukuman denda sejumlah 27 ribu euro (RM126 ribu) ke atas Joaquín García yang didapati tidak hadir ke pejabat selama enam tahun, lapor The Guardian.

Perkara itu hanya disedari oleh majikannya apabila García dicalonkan untuk menerima anugerah kesetiaan dan khidmat cemerlang selepas berkhidmat selama 20 tahun.

Menurut majikannya, Jorge Blas Fernández yang juga timbalan datuk bandar Cádiz, dia mula tertanya-tanya apabila nama García dicalonkan.

“Ketika itu dia masih bekerja di sini. Saya tertanya-tanya di manakah dia? Adakah dia masih ada di pejabat? Adakah dia sudah bersara? Adakah dia telah meninggal dunia?”

Selepas siasatan mengesahkan García tidak kelihatan di pejabat bertahun-tahun lamanya, Fernández akhirnya menghubungi García.

“Saya tanya dia: Apa yang kamu buat? Apa yang kamu buat semalam? Apa yang kamu buat bulan lepas? Dia tidak dapat jawab.”

García mula berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan Cádiz pada tahun 1990 sebelum dipindahkan ke lembaga air perbandaran pada tahun 1996 untuk memantau loji rawatan air.

Mahkamah menyatakan hal ini turut berpunca dari salah faham lembaga air yang menyangka García berada di bawah pemantauan pihak berkuasa tempatan. Pada masa yang sama, pihak berkuasa tempatan menganggap García sudah sepenuhnya bekerja untuk lembaga air.

García bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa dia sentiasa hadir ke pejabat namun tidak ada kerja yang perlu dilakukan. Dia bagaimanapun mengaku tidak mematuhi jadual waktu kerja.

Jurutera berusia 69 tahun itu tidak dipecat kerana kesalahannya hanya dikesan selepas dia bersara.