Kewujudan terlalu banyak maklumat yang menakutkan dan belum disahkan kebenarannya di laman sosial berkaitan bahaya suntikan vaksin menjadi satu daripada punca ada ibu bapa yang menolak memberikan suntikan itu kepada anak-anak mereka.

Exco Kesihatan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata malah ada artikel ataupun entri di laman sosial itu ditulis oleh mereka yang mendakwa berkelulusan tinggi ataupun doktor mengenai kesan sampingan vaksin yang kononnya akan meninggalkan kesan buruk.

"Ibu bapa sayangkan anak-anak, jadi mereka akan elak anak-anak diimunisasi bila takut. Maka kita kena perbetulkan persepsi dan ini iktibar bagi kita," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mahdzir Abdul Hamid (BN-Jeneri) yang mahu tahu adakah kerajaan bercadang untuk mewajibkan suntikan vaksin memandangkan wabak difteria yang menimbulkan ketakutan kepada semua pihak.

Dr Leong berkata setakat ini tiada dasar yang mewajibkan suntikan vaksin memandangkan sudah banyak dasar-dasar sedia ada seperti di sekolah dan klinik yang memberikan suntikan vaksin itu.

"Misalnya di sekolah memang telah ada suntikan vaksin diberikan manakala di klinik-klinik kesihatan memang kita lakukan tanggungjawab sebaik mungkin untuk memastikan imunisasi ini dapat dilaksanakan.

"Faktor lain menyumbang masalah ini ialah keraguan ibu bapa terhadap status halal vaksin dan keluarga miskin dan naif," katanya.

Menjawab soalan Mahdzir yang mahu tahu statistik terkini kes difteria di negeri ini, Dr Leong berkata sehingga kini lapan kes difteria dicatatkan melibatkan dua kematian daripada satu keluarga.

Jumlah itu katanya menunjukkan peningkatan berbanding satu kes pada 2014 dan dua kes pada tahun lalu.

Dr Leong berkata pihaknya juga telah banyak melakukan inisiatif bagi memberikan kesedaran tentang perlunya suntikan vaksin, antaranya promosi pendidikan kesihatan, kempen dan seminar serta kerjasama dengan pemimpin masyarakat.