Buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Miss Universe, tahun ini Malaysia yang diwakili Shweta Sekhon berjaya raih kemenangan menerusi segmen National Costume.

Kemenangan ini menyaksikan “Peranakan Indulgence” rekaan Carven Ong diiktiraf dan diterima baik di peringkat antarabangsa.

Kostum seberat 28 kilogram yang disiapkan dalam tempoh tiga bulan ini memperincikan kombinasi dan keunikkan Malaysia yang terkenal dengan gelaran syurga makanan termasuk keindahan busana tradisional.

“Peranakan Indulgence” merupakan kostum yang mengangkat kaum Peranakan dengan kombinasi hebat menggunakan kain sarung dan songket.

Kostum berwarna-warni ini turut dilengkapkan dengan aksesori berwarna terang bagi melambangkan warna keraian masyarakat majmuk di Malaysia.

Bagaimanapun pihak organisasi Miss Universe tetap cetuskan kontroversi apabila Steve Harvey pada mulanya tersalah umum nama pemenang apabila mengumumkan wakil Filipina, Gazini Ganados sebagai pemenang segmen tersebut.

Shweta yang sudah bersedia di sisi pentas cekap membetulkan suasana dan Harvey menyalahkan prompter atas kesilapan tersebut.

“It’s not Philippine Steve, It’s Malaysia”, jawab Shweta yang kelihatan teruja dengan kemenangan pertama tersebut.

Pengumuman tersebut nyata memberi semangat buat penyokong di tanah air yang sangat mengharapkan Shweta mampu melepasi peringkat separuh akhir selepas hampir 49 tahun nama Malaysia tidak lagi didengari di pentas ratu cantik berprestij ini.

Kemenangan ini diharap akan menjadi pembuka pintu buat Malaysia untuk terus menghantar wakil yang cemerlang dan konsisten seperti Shweta agar suatu hari nanti Malaysia juga mampu menjadi Beauty Powerhouse.

Tahniah Shweta Sekhon.