Maxis dan Grab yakin aplikasi permainan Pokemon Go akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.

Walaupun, tarikh pelancaran Pokemon Go tidak diumumkan, kedua-dua syarikat ini mengumumkan pelancaran PokeMobile, bagi membantu pemain Pokemon Go.

Menurut Pengurus Negara Grab Malaysia, Jaygan Fu, berikutan pelancaran Pokemon Go, semua pemainnya boleh menempah perjalanan percuma dengan PokeMobile untuk ke Poke Stop terdekat.


"Sebaik sahaja Pokemon Go dilancarkan di Malaysia, Grab akan memberikan perjalanan percuma untuk dua hari bagi pemain Pokemon Go yang menggunakan PokeMobile. Kami mempunyai empat kereta buat masa ini.

"Oleh itu, sebaik sahaja Pokemon Go dilancarkan di Malaysia, aplikasi Grab akan mempunyai satu ikon PokeMobile, dan pelanggan boleh menempah perjalanan tanpa had daripadanya," kata Jaygan.

Tambahnya, oleh kerana pemburuan Pokemon merupakan aktiviti yang menggunakan tenaga kedua-dua pemain dan bateri peranti, setiap satu PokeMobile dilengkapi minuman ringan, pengecas peranti dan juga monitor skrin lebar Hotlink Fast 4G.

Sementara itu, Ketua Prabayar Maxis, Navin Manian berkata penumpang PokeMobile yang juga pelanggan Hotlink akan mendapat Poke Coins bernilai USD100.

"Jika anda merupakan pelanggan Hotlink dan menggunakan PokeMobile, anda akan menerima PokeCoins bernilai USD100 iaitu bersamaan lebih RM400 dan ini boleh digunakan untuk membuat pembelian dalam aplikasi," ulas Navin.

Selain itu, pelanggan Hotlink akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus untuk pembelian dalam aplikasi bagi beberapa aplikasi permainan.

Antaranya Smule, Candy Crush Saga, Clash of the Clans dan Clash Royale.

Pokemon Go merupakan permainan dunia permainan realiti berperantara yang merupakan trend semasa di seluruh dunia.

Pokemon Go mendapat 7.2 juta muat turun hanya 7 hari selepas pelancaran di peringkat global.