Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Haute Hijab Amerika Syarikat Melanie Elturk adalah antara ikon fesyen antarabangsa yang akan menyertai Minggu Fesyen Islamik Asia 2017 (AIFW) yang bermula di sini esok hingga Ahad.

Selain Melanie, Dian Pelangi dari Indonesia akan turut serta, kata pengasas AIFW Fuza Umar kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kehadiran pengasas jenama tudung berkonsep 'modest fashion' yang popular di Amerika Syarikat itu serta Dian, dijangka menarik ribuan pengunjung ke edisi sulung AIFW di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

"Penglibatan dua individu berpengaruh dalam industri fesyen berkonsep Islamik itu bertepatan dengan tema penganjuran AIFW iaitu untuk memperkenalkan Asia sebagai pusat global fesyen Islamik.

"Mereka berdua dijadual hadir dalam sesi interaksi yang berlangsung petang esok dengan membincangkan tajuk 'Where faith meets fashion'," katanya.

Fuza berkata Mizz Nina, ikon berpengaruh fesyen untuk AIFW, akan turut hadir dalam sesi tersebut.

"AIFW mengetengahkan tiga elemen utama, iaitu pertunjukan dagangan fesyen, pertunjukan fesyen dan interaksi fesyen dan ia mengambil inspirasi warna-warni dunia fesyen Islamik," katanya.

Beliau berkata minggu fesyen itu juga akan memaparkan trend terbaharu dalam persalinan busana, aksesori dan kosmetik yang berinspirasi kesantunan fesyen dengan gaya terkini dalam konteks Islam.

"Kira-kira 180 peserta pameran, 100 pereka, 200 pembeli dagangan antarabangsa, pencetus pengaruh fesyen, eksekutif bisnes, jurugambar fesyen dan pengamal media dari lebih 20 negara akan menyertai AIFW ini," katanya.

Beliau berharap AIFW akan menjadi ruang pasaran bagi fesyen dan gaya hidup Islamik di Asia selain platform untuk komuniti terbabit bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan. -- Bernama