Tutup

'Monuments' kritikan sosial terbaharu Ahmad Shukri Mohamed

'Monuments' kritikan sosial terbaharu Ahmad Shukri Mohamed
Bagi peminat seni yang berhasrat untuk 'menikmati' kritikan sosial Ahmad Shukri, boleh mengunjungi Segaris Art Center, di Publika sehingga 3 November nanti. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
MEMASUKI Segaris Art Center dan melihat 15 karya yang digantung di dinding galeri itu bermula 9 Oktober lalu seolah-olah kita melihat satu kenyataan yang berbeza-beza namun menuju ke satu maksud yang sama.

Kenyataan sosial pada 15 karya yang dibuat artis yang menghasilkan karya tersebut seakan-akan menceritakan sesuatu kepada masyarakat, bertetapan dengan peranan seniman sebagai pihak yang sering menyampaikan atau berkongsi sesuatu perkara dengan khalayak.
Rasa seolah-olah melihat kritikan sosial yang berbeza-beza tetapi menuju ke satu maksud yang sama itu boleh dirasai ketika melihat karya-karya artis tersohor, Ahmad Shukri Mohamed, 50, dalam pameran solo kesembilannya, berjudul Monuments.

Setelah bergiat dalam seni catan secara profesional selama lebih dari dua dekad, Ahmad Shukri mempamerkan 15 karya seni yang dihasilkan sejak dua tahun yang lalu.
Monuments merupakan pameran solo ke sembilan artis kelahiran Kelantan, Ahmad Shukri Mohamed yang dipamerkan di Segaris Art Center dari 9 Oktober hingga 3 November nanti. - Gambar Astro AWANI/ Shahir Omar

Karya-karya ini dihasilkan selepas mengadakan pameran solo kelapannya dua tahun yang lalu dan ia menghimpunkan rakaman apa yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Tajuk Monuments yang menjadi tema pameran ini belum ada ketika peringkat awal saya menghasilkan karya-karya yang dipamerkan di sini.

"Ia dipilih sebagai tema kerana semua karya-karya ini menuju ke satu maksud yang sama biarpun setiap satunya mempunyai kenyataan yang berbeza,

"Monuments adalah simbol kepada satu perkara yang kita mahu pertahankan, ia adalah tajuk yang sesuai dengan hasrat untuk mencapai satu prinsip," ceritanya kepada Astro AWANI di hari perasmian pameran solonya itu.

Ahmad Shukri seperti biasa, sangat santai dan tidak kekok untuk menjawab setiap soalan yang ditanya biarpun hari itu merupakan antara hari yang penting baginya.

Karya-karya ini dihasilkan selepas mengadakan pameran solo kelapannya dua tahun yang lalu dan ia menghimpunkan rakaman apa yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pelukis kelahiran Kelantan ini mengamati dan mengikuti rapat setiap apa yang berlaku disekelilingnya sebelum PRU14.

"Sejak 1957, tidak pernah berlaku perubahan pemerintah dalam negara kita, jadi apa yang berlaku sebelum dan selepas PRU14 merupakan satu sejarah yang perlu didokumentasikan.

"Apa yang saya mahu dokumenkan ialah satu pemerintahan yang lama tidak boleh kekal. Kenapa benda ini terjadi? Saya cuba dokumenkan tentang 1MDB dan lain-lain.

"Apa yang berlaku ini, saya melihatnya dari sudut yang positif, maksudnya satu pemerintahan atau pentadbiran boleh kekal jika menjaga moral dan integriti," jelas Ahmad Shukri mengenai pengamatannya tentang apa yang berlaku pada pentadbiran negara.

Antara karya Ahmad Shukri di pameran bertajuk Monuments di Segaris Art Center. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

Apa yang disampaikan itu bertepatan kerana ramai yang berpendapat Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada PRU14 kerana moral dan integriti pemimpinnya merosot di mata masyarakat.

Perkara yang sama seharusnya menjadi perhatian pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang kini membentuk kerajaan selepas PRU14 yang lalu.

Karya bertajuk 'Sekolah Kita' merupakan antara karya Ahmad Shukri yang dipamerkan di Segaris Art Center. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

Bercerita lanjut, Ahmad Shukri mengakui beliau sememangnya gemar menghasilkan karya yang mempunyai kritikan sosial kerana itu adalah peranan yang harus dipikul oleh seorang seniman.

"Seniman merupakan penyampai atau pihak yang sering berkongsi sesuatu perkara dengan masyarakat sama ada kenyataan sosial atau pandangan mereka tentang apa-apa isu

"Artis atau pelukis adalah penyampai dalam bentuk visual jadi tugas seniman, tidak kira siapa pun adalah penting.

"Kalau lihat karya-karya saya sejak awal hingga kini masih lagi menyampai, masih lagi berkongsi dan masih mendokumentasikan imej-imej yang penting untuk didiskusi antara mayarakat," jelas beliau.

Segaris Art Center merupakan anak syarikat UiTM Holdings yang sangat aktif mempamer dan mempromosikan karya artis-artis tempatan. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

Bagi peminat seni yang berhasrat untuk 'menikmati' kritikan sosial Ahmad Shukri, boleh mengunjungi Segaris Art Center, di Publika sehingga 3 November nanti.

Ahmad Shukri berharap peminat seni yang melihat hasil karya terbarunya ini dapat mengupasnya dengan baik apa yang cuba beliau kongsikan.


Tag: Ahmad Shukri Mohamed, artis, pameran, solo, Monuments, pilihan raya umum, PRU14, Barisan Nasional, Pakatan Harapan, 1MDB



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.