HASIL tangannya - mural memaparkan wajah tokoh negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah pernah tular, menghadirkan kekaguman di seantero negara.

Namun sayangnya, hasil seni itu tidak bertahan lama apabila ia dirosakkan ‘tangan-tangan jahat’. Sekarang kedua-duanya sedang diburu, harapnya cepatlah mereka itu ditangkap.

Entah apa motifnya, diconteng lukisan itu dengan perkataan yang tidak perlulah ditulis di sini. Natijahnya, potret enam tokoh itu terpaksa dipadam.. maka kecewalah rakyat Malaysia.

Sudah tentu berganda kekecewaannya buat sang pelukis, tiga anak muda bernama Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Berkesempatan bertemu Muhammad Suhaimi (Miey Ali) dan Muhamad Firdaus (Daus) di Port Dickson baru-baru ini, sudah pasti soalan berkaitan mural tersebut ditanyakan kepada mereka.

Tanpa berselindung, kedua-duanya mengakui mereka kecewa dengan apa berlaku.

Tidak mereka sangka usaha yang dihargai jutaan rakyat Malaysia itu sebenarnya terselit juga hati yang tidak senang dengan karya itu.


“Masa dapat tahu mural kami menjadi mangsa vandalisme, bergegas kami ke sana. Bila nampak kesan conteng itu, kecewa sungguh rasa tapi kami boleh saja baiki sebab ia tidaklah rosakkan keseluruhan lukisan.

“Namun bila fikir mungkin perkara sama akan terjadi kelak, dengan berat hati kami putuskan untuk padam sajalah. Mungkin ini bukan rezeki kami, ada lah rezeki lain nanti.

“Semasa mural itu dipadam, hati memang sangat sebak. Sempat saya rakam videonya dan video itu tidak akan dipadam, akan disimpan menjadi kenangan,” kata Daus yang dari riak wajahnya nampak reda dengan apa berlaku.


Perasaan sama turut menerjah hati Miey Ali.

Beratus jam masa dihabiskan untuk menghasilkan karya itu namun dek kerana ‘tangan-tangan jahat’, tak sampai sehari, hilang terus karya itu, hanya tinggal dinding putih sekarang.

Bagi Miey Ali, meskipun pahit untuk ditelan namun ia tidaklah menghancurkan semangatnya untuk terus menghasilkan mural-mural berunsur patriotik seperti itu.

“Masa tengok hasil usaha kita dipadam, memang rasa kecewa sungguh, macam nak patah semangat pun ada. Tapi saya kata dalam hati, saya tak boleh putus asa, tak boleh kalah macam ini.

“Kalau saya putus asa, saya kalahlah, penconteng itulah yang menang. Jadi saya kuatkan semangat, saya anggap ini sebagai cabaran untuk saya, asam garam pelukis seperti saya.

“Bila dah padam semua, saya tanam hasrat dan tekad untuk hasilkan mural seumpama itu yang lebih besar, yang lebih gah.

"Patah semangat? Langsung tiada, kuat lagi semangat ada lah,” ujarnya.

Bahkan katanya, selepas insiden itu, ada individu yang sudi membantunya dan rakan, akan menyediakan satu dinding bangunan dua tingkat di Kuala Lumpur untuk mereka hasilkan mural berunsur patriotik.

“Lokasinya di mana, itu rahsia tapi apa boleh saya katakan, mural yang akan dihasilkan nanti lebih besar daripada sebelum ini. Saya difahamkan ia adalah projek Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Andai semuanya berjalan lancar, ia mungkin akan disiapkan sebelum Hari Malaysia pada 16 September nanti,” katanya.


Pertemuan hampir dua jam itu pastinya tidak lengkap jika tidak ditanya inspirasi dan objektif utama anak-anak muda itu menghasilkan lukisan sebegitu yang mendapat pujian ramai.

Bagi Daus, matlamat utamanya adalah untuk menzahirkan penghargaan kepada pemimpin negara dan jujurnya, mereka tidak menyangka lukisan itu tular sebegitu rupa sehinggakan Al-Sultan Abdullah turut mencemar duli melawat hasil tangan mereka.

“Kami lukis mural itu untuk menghargai pemimpin negara dan frontliners selain mengajak rakyat untuk sama-sama menghargai mereka.

“Nampaknya matlamat kami tercapai kerana ramai yang menghargai mural itu dan faham makna di sebalik lukisan kami,” ujarnya.

Kedua-dua graduan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu juga berbangga kerana mereka berjaya membuktikan bahawa mural bukanlah hanya lukisan di tadika dan sekolah semata-mata namun ia lebih daripada itu.

“Kami tukar persepsi orang yang mana mural ini bukan untuk tadika sahaja, boleh jadi macam-macam sebab kita buat dia,” kata Miey Ali mengakhiri bicara.