Setiap kali musim haji, pasti Mokhtar Osman, 92, akan teringatkan kembali kenangan menunaikan ibadah haji ketika usia mudanya.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Haji Utar amat bersyukur kerana dapat ke tanah suci sebanyak dua kali iaitu pada 1954 ketika berusia 30an dan berikutnya pada 1971.

Paling nostalgik, untuk kedua-dua perjalanan ke Mekah itu beliau menggunakan kapal laut.

Walaupun usia sudah begitu lanjut, ayah kepada 15 orang anak ini masih mampu mengingati kisah pelayaran ke tanah suci yang menjadi kenangan manis sepanjang hayatnya.

Kali pertama beliau menunaikan ibadah haji, beliau pergi dengan bapa saudaranya dan dan berikutnya dengan isteri kedua (isteri pertama meninggal dunia) serta saudara mara dan rakan-rakan.

"Untuk ibadah haji yang pertama, saya bersama bapa saudara serta jemaah lain menaiki Kapal Anshun dan keadaan ketika itu di Pelabuhan Pulau Pinang (Port Swetenham) sangat ramai dengan jemaah haji, sanak saudara yang datang dari pelbagai tempat," Haji Utar berkongsi pengalamannya dengan Bernama baru-baru ini.

Kapal Anshun adalah antara dua kapal laut terawal yang digunakan untuk membawa jemaah haji yang bertolak dari Pelabuhan Pulau Pinang (Port Swetenham). Satu lagi kapal bernama Kapal Anking. Kapal-kapal ini dikendalikan syarikat, The China Navigation Company.

DATANG AWAL

Menurut Haji Utar, untuk kali pertama ke tanah suci, beliau dan bapa saudaranya serta sanak-saudara tiba di pelabuhan tiga hari lebih awal.

Ada juga jemaah haji yang datang seminggu lebih awal. Mereka duduk di "rumah Syeikh" iaitu penempatan yang disediakan oleh Syeikh Haji. Syeikh Haji pada ketika itu merupakan ejen haji berlesen yang dipantau oleh Pusat Kawalan Haji Pulau Pinang.

Tempoh pelayaran pergi balik yang panjang sekitar 14 hingga 16 hari membuatkan ada jemaah yang membawa bekalan makanan sendiri seperti beras. Ada juga yang membawa periuk belanga untuk memasak di samping barang-barang lain umpama hendak berniaga di atas kapal.

Haji Utar turut berkongsi pengalamannya semasa di atas kapal dengan menyatakan keadaan kapal tersebut begitu besar sehinggakan pihak kapal mengasingkan jemaah haji mengikut kampung masing-masing.

Beliau juga menceritakan detik-detik awal semasa menaiki kapal termasuk tidak mengalami mabuk laut.

"Walau bagaimanapun selepas tiga hari naik kapal, saya mabuk lauk sehingga sampailah ke Jeddah kerana tidak tahan gelora laut yang begitu beralun dan berombak," katanya yang masih lagi menyimpan pasport haji dan pas haji pada tahun tersebut.

Bagaimanapun, bagi Haji Utar, semua keletihan dan rasa tidak selesa semasa dalam pelayaran "hilang sekelipan" sebaik sahaja melihat Kaabah. Rasa syukur sehingga beliau menitiskan air mata.

Hatinya juga semakin rindu untuk menjejakkan lagi ke tanah suci dan ika diberi peluang untuk menunaikan haji menaiki kapal lagi, beliau tidak keberatan untuk melalui engalaman itu sekali lagi.

"Jika diberi peluang, saya mahu pergi bersama-sama anak-anak. Tidak mahu pergi tanpa mereka," katanya sambil memberitahu penulis, beliau menggunakan wang hasil jualan padi dan tanaman untuk ke Makkah.

Pada ketika itu, beliau menyara keluarganya dengan bekerja sebagai petani.

"Wang tambang kapal laut kira-kira RM800 sahaja, jadi saya mengumpul duit selama tiga hingga empat tahun sebelum mampu berangkat ke sana," katanya.

Antara detik manis yang dikongsikan Haji Utar semasa dalam pelayaran adalah melihat "ikan-ikan terbang" yang berenang menghampiri kapal.

"Sangat menarik (melihat ikan terbang)... di samping melihat keindahan alam yang luas itu adalah sesuatu yang menakjubkan," kata Haji Utar yang kelihatan sihat, tidak bertongkat, malah masih boleh menunggang motorsikal ke pekan.


KEBANJIRAN JEMAAH HAJI

Sementara itu, Bernama turut menjejaki salah seorang generasi kelima keturunan Syeikh Omar Basyir iaitu Nourain Habibi Alisyaki, 60, yang pernah menyaksikan sendiri kebanjiran jemaah haji di Lebuh Acheh sekitar tahun 1950-an.

Syeikh Omar Basyir adalah Kadi pertama Pulau Pinang yang banyak membuat catatan mengenai panduan haji serta menyimpan dokumen urusan pelayaran jemaah haji ketika hayatnya.

"Pada masa itu, saya berumur dalam lingkungan lima atau enam tahun. Namun masih segar dalam ingatan apabila menyaksikan sendiri suasana di Lebuh Acheh.

"Kawasan dipenuhi dengan jemaah haji dari Kelantan, Kedah, Perak malah seluruh Tanah Melayu dan rantau Asia datang ke sini sebelum berangkat ke Makkah," kata Nourain.

Menurut beliau, keadaan persekitaran sentiasa meriah dengan limpahan cahaya lampu kedai ditambah dengan kerancakan aktiviti para jemaah dan penduduk setempat.

"Kerana merasakan suasana di Lebuh Acheh begitu meriah, saya dan keluarga tidak ketinggalan untuk menjual sengkuang calit dan nasi lemak. Memang seronok waktu itu.

'Saya juga melihat banyak kotak Sahara yang begitu sinonim dengan jemaah haji ini dibawa berbongkah-bongkah apabila mereka ingin berangkat ke Tanah Suci..dan apabila tibanya masa berangkat, saya lihat ada muazin yang akan melaungkan azan.

"Keadaan pada ketika itu begitu sayu kerana perjalanan yang bakal jemaah haji tempuhi itu begitu lama dan keselamatan mereka di atas kapal juga masih samar-samar," katanya yang kini menetap di rumah asal Syeikh Omar Basyir di Lebuh Acheh yang kini mendapat status Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menurut Nourain, segala diari Syeikh Omar Basyir ada tersimpan di Muzium Pulau Pinang. Beliau juga ada menyimpan buku panduan haji serta beberapa pasport lama peninggalan daripada datuk terdahulu dan juga bapa saudara pernah berkhidmat sebagai Syeikh Haji," jelasnya.

Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai anggota polis kini banyak terlibat dalam aktiviti warisan di Pulau Pinang sering mendapat jemputan untuk berkongsi pengalaman dan kisah sejarah keturunannya kepada pelajar sekolah rendah dan menengah malah turut mendapat sokongan daripada USM dan Muzium Pulau Pinang.

Sesungguhnya era pelayaran jemaah haji yang menggunakan perkhidmatan kapal laut mempunyai khazanah kenangan serta peristiwa tersendiri yang amat bernilai.

Amat wajar semuanya ini diceritakan kepada generasi akan datang tentang semangat kental serta luar biasa jemaah haji ketika kapal mengharungi gelombang ganas demi untuk menjadi tetamu Allah dan menjejakkan kaki ke Baitullah, Makkah, kota pengabdian keimanan umat Islam.

--BERNAMA