Kerana sayangkan bapanya yang telah meninggal dunia enam bulan lalu, seorang pereka kasut dari Sarawak, mengabadikan nama bapanya itu dalam kasut-kasut terbaharu rekaannya.

Najla Sarbini, 37 tahun berkata, bapanya telah meninggal dunia akibat komplikasi jantung kira-kira enam bulan lalu, dan sebagai mengingati Allahyarham, beliau mengabadikan namanya dalam ‘The White Label Collection’ rekaannya.

‘The White Label Collection’ menampilkan lima rekaan kasut bergaya dan praktikal untuk kegunaan harian mahupun ke majlis istimewa.

“Rekaan kasut-kasut ini, semuanya bertemakan warna putih dan pada hujungnya tertera nama bapa saya.

“Ia berbeza dengan semua rekaan saya sebelum ini, yang hanya menitip nama saya, Najla,” katanya ketika ditemui sempena Minggu Fesyen Borneo (BFW) 2018 di sini.

Najla merupakan pereka muda yang kini mula menempah nama di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun tidak banyak yang tahu, Najla memulakan impian masa kecilnya itu hanya dengan bermodalkan RM2,000 dan 20 pasang kasut.

  Najla mengakui keunikan rekaannya adalah pemilihan ‘warna-warna yang unik’. - Astro AWANI/Rohana Wahed
Najla mengakui keunikan rekaannya adalah pemilihan ‘warna-warna yang unik’. - Astro AWANI/Rohana Wahed

‘Najla Shoes’ katanya, kini memiliki pelanggan bukan setakat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, malah dari Brunei, Singapura, Australia dan United Kingdom.

“Ia telah berada di pasaran sejak tahun 2015 dan mendapat sambutan yang menggalakkan di Semenanjung terutamanya dalam kalangan selebriti terkenal seperti Noryn Aziz dan personaliti TV, Dayah Bakar.

Katanya, minat yang mendalam terhadap kasut memotivasikan dirinya untuk mencipta nama hingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus bersaing dengan pereka kasut terkenal.

Pemegang ijazah sarjana muda kesenian daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) ini mengakui, keunikan rekaannya adalah pemilihan ‘warna-warna yang unik’.

“Saya banyak memainkan warna terhadap rekaan kasut kerana jika dilihat warna-warnanya, ia sangat sukar ditemui dalam rekaan atau jenama kasut yang lain.

“Di samping itu, saya juga amat mementingkan keselesaan pelanggan dan kualiti barangan yang dijual," katanya.

Apabila ingin mengeluarkan rekaan terbaru katanya, beliau akan pastikan yang dirinya terlebih dahulu mencuba kasut tersebut kerana ingin merasai sama ada ia selesa atau tidak apabila dipakai.

“Jika berpuas hati, baharulah saya bertindak ke peringkat seterusnya, iaitu mempromosinya kepada pelanggan,” jelasnya.

Kasut jenama Najla dijual pada harga RM89 sehingga RM300 sepasang dan beliau mengambil tempahan secara atas talian, serta melalui vendor di Kuching dan Brunei Darussalam.

Sempena BFW 2018 yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 September, beliau telah membawa sebanyak 450 pasang kasut daripada pelbagai jenis dan corak yang menarik untuk diperagakan kepada peminat fesyen di bandar raya Kuching.