BAGI anda yang gemar meneroka cabaran baharu, muzium 'pelik' ini mungkin perlu ada dalam senarai bucket list.

Bukan sekadar premis biasa yang mempamerkan barangan bersejarah, sebaliknya Digusting Food Museum (Muzium Makanan Jijik) ini 'menyajikan' makanan di luar kebiasaan.

Antara menu yang disajikan ialah bangkai tikus dalam wain Cina, keju berulat, sup pedas kepala arnab dan manisan buah-buahan yang dihidangkan bersama kelawar.

Antara pengunjung yang hadir menyaksikan 'menu' bangkai tikus dalam wain Cina di Disgusting Food Museum, Sweden. -Foto Reuters
Menurut pengunjung yang datang ke muzium di bandar Malmo, Sweden itu, ada satu menu yang dianggap terlalu pelik.

Makanan itu adalah bangkai jerung Iceland yang telah dijerukkan.

Menurut pengarah muzium ini, Samuel West yang dipetik sebagai berkata, rasa bangkai jerung itu ibarat mengunyah gula-gula getah yang hancing.

Malah katanya, mendiang chef terkenal, Anthony Bourdain yang pernah mengunjung muzium tersebut menyifatkan menu itu sebagai yang paling jijik pernah dirasai.

Bagaimanapun, bagi anda yang berminat untuk berkunjung ke muzium tersebut, anda tidak perlu risau kerana mereka menyediakan beg kertas khas untuk anda yang mual dengan menu-menu tersebut.


Pengunjung yang datang cuba membau keju berulat di Disgusting Food Museum di Sweden. Foto: Reuters
Pengunjung yang datang cuba membau keju berulat di Disgusting Food Museum di Sweden. Foto: Reuters


“Ya, pernah ada pengunjung yang muntah apabila mereka menjamah makanan-makanan itu. Tetapi jangan risau, kami menyediakan beg khas untuk anda muntah.

“Kemasukan ke dalam muzium juga tidak memerlukan tiket seperti di muzium lain, beg khas itu adalah tiket untuk anda masuk ke dalam muzium,” kata West seperti yang dilaporkan Reuters.

Pelbagai menu ‘luar biasa’ lain terdapat di muzium itu yang diinsipirasikan dari seluruh dunia seperti menu dari Mexico, sup Menudo; dan makanan traditional Peru, guinea pigs goreng.