announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Padah sesaat nyawa hilang! Ketahui gejala dan rawatan 'microsleep'

Padah sesaat nyawa hilang! Ketahui gejala dan rawatan 'microsleep'
Individu yang mengalami 'microsleep' boleh terlelap tanpa disedari. -Gambar hiasan
KES kemalangan jalan raya yang berpunca daripada pemandu mengantuk seringkali dilaporkan media tempatan.

Ia bukan sahaja meragut nyawa pemandu serta penumpang terbabit, namun membahayakan pemandu lain jika kenderaan terbabas memasuki laluan bertentangan.

Terbaharu, di Kedah, seorang kelindan maut pada bulan lalu apabila lori tiga tan yang sedang dalam perjalanan menghantar barang terbabas ke dalam parit dipercayai akibat pemandu mengantuk.

BACA: Akibat mengantuk, lelaki maut langgar pokok

Memetik laporan Healthline.com, ‘microsleep’ merujuk kepada tempoh tidur yang berlaku sehingga beberapa saat.

Tempoh 'microsleep' adalah di antara 1 dan 30 saat.

Ia boleh berlaku walaupun mata masih terbuka.

Lebih menakutkan, individu yang mengalaminya boleh terlelap tanpa disedari.

Apakah gejala atau tanda-tanda jika seseorang pemandu mengalami ‘microsleep’?

Sekiranya anda mula tersasar dari lorong anda, itu bermakna anda mula mengalami ‘microsleep’ dan perlu berhenti dan rehat serta-merta.

Menguap berulang kali, terlepas susur keluar dan kelopak mata berasa layu dan berat antara simptom kepada keadaan itu.

Dalam situasi ini, peranan bagi penumpang hadapan amat penting. Anda boleh mengamalkan langkah-langkah berikut bagi membantu si pemandu sentiasa berada dalam keadaan sedar:
  • Bawa bersembang dengan pemandu untuk elakkan rasa mengantuk.
     
  • Perhatikan cara pemanduan. Jika sudah mula membawa tidak mengikut lorong, tegur pemandu. Cadangkan untuk berehat seketika di stesen minyak.
     
  • Sekali sekala lihat paparan dashboard pemandu. Adakah pemanduan terlalu laju? Jika ada, sila tegur.

Selain itu, terdapat beberapa rawatan mudah boleh diamalkan oleh si pemandu.

Antaranya, pemandu perlu mendapatkan tidur yang mencukupi dan berkualiti (tujuh hingga sembilan jam) sebelum memulakan perjalanan yang panjang.

Untuk itu, pemandu hendaklah melaraskan gaya hidup dan rutin tidur.

Sebagai contoh, elakkan mengambil kafein sebelum tidur, elakkan terlalu aktif sebelum tidur, padamkan lampu atau bunyi sekeliling.

Juga, pastikan bilik tidur anda berada pada suhu yang selesa.

BACA: Bahaya microsleep! Ini waktu yang anda patut elak memandu