PELITUP muka atau mask memainkan peranan penting dalam mengawal penularan COVID-19. Namun, dalam beberapa situasi ia juga mungkin boleh menyebabkan masalah kulit.

Pakar dermatologi mengesyorkan beberapa tips di bawah bagi membantu mengelakkan masalah ini.

1. Penjagaan kulit yang teliti dapat mencegah masalah kulit. Cuci muka dengan pembersih muka setiap pagi dan malam. Anda digalakkan menggunakan pembersih muka yang tidak mempunyai campuran wangian.

2. Kulit kering adalah masalah utama apabila mengenakan pelitup muka. Jawapan kepada masalah ini ialah memastikan kulit menerima lembapan yang sepatutnya setiap masa. Guna pelembap yang bersesuaian, mengikut jenis kulit, selepas mencuci muka.

3. Lindungi bibir anda dengan menggunakan petroleum jelly. Ini akan mengelakkan bibir anda kering dan pecah-pecah.

4. Lupakan solekan. Memakai alat solek di bawah pelitup muka boleh menyebabkan liang pori tersumbat sekali gus mengakibatkan jerawat.

5. Buka pelitup muka setiap empat jam selama 15 minit. Ini penting bagi membolehkan kulit 'bernafas' seperti biasa. Tetapi terlebih dahulu, pastikan anda berada di tempat yang tidak sesak dengan orang ramai.