DALAM senario pasangan suami isteri yang belum dikurniakan zuriat setelah berkahwin dalam suatu tempoh tertentu, sering kali 'kesalahan' itu dengan mudah dituding kepada sang isteri.

Bagaimana pula dengan si suami?

Menurut Pakar Perunding Kanan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Profesor Datuk Dr Zainul Rashid Mohd Razi dalam satu temu bual radio baru-baru ini, tahap kesuburan lelaki secara puratanya menunjukkan penurunan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menurunkan tahap normal kesuburan lelaki sebanyak 20 peratus.

Tahap kesuburan lelaki diukur dari jumlah bilangan aktif sperma yang dihasilkan.

"Bilangannya seharusnya 20 juta (sperma) dan 50 peratus (sperma) masih bergerak aktif, empat peratus lagi mengekalkan bentuk yang normal.

"Sperma yang normal inilah yang akan bersenyawa dengan telur perempuan," ujarnya.

Katanya, selain gaya hidup yang semakin berubah, pengambilan makanan yang dipanaskan dengan ketuhar mikro turut menjejaskan kualiti sperma.

Sementara itu, laman web Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS) mendedahkan pemakaian seluar dalam yang ketat boleh menyebabkan suhu testikel meningkat 1 darjah Celsius.

"Walaupun kajian menunjukkan pemakaian seluar dalam ketat tidak menjejaskan kualiti sperma, anda mungkin boleh pilih seluar dalam yang longgar seperti boxer ketika sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat," jelas NHS.