Usia sama sekali tidak menjadi penghalang buat seorang warga emas berusia 90 tahun menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi.

Siapa sangka, Kirill Patrakhin tersenarai sebagai satu-satunya pelajar paling tua di Rusia yang mengambil Sarjana Muda di Fakulti Sains di Perm State University of Humanitarian Education, Rusia.

Mengikut undang-undang pendidikan di Rusia, warganegaranya diwajibkan mengambil ujian Peperiksaan Unified State, sekurang-kurangnya lulus bagi mendapatkan kemasukan ke universiti.

Patrakhin bukanlah tergolong atau dilahirkan dalam keluarga yang berada, wang simpanan dan imbuhan pencen yang dikumpul digunakan sepenuhnya untuk membiayai segala yuran berkaitan.

Sebagai permulaan, Patrakhin perlu membayar AS$600 untuk yuran semester pertamanya.

Mungkin rezeki dan tuah buat Patrakhin, pihak universiti berbesar hati mengecualikan yuran semester kedua buatnya.

Menurut Dekan Fakulti Sains Semulajadi, Galina Dubas tawaran diberikan kerana menyifatkan Patrakhin seorang luar biasa hebat selain gigih dan masih punya daya usaha untuk menambah ilmu pengetahuan ke tahap tertinggi.

Jelasnya, jika mengikut syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan fakulti terbabit, pelajar-pelajar perlu masuk ke hutan untuk membuat kajian secara terperinci.

Namun, atas alasan usia dan kesihatan Patrakhin, pihak fakulti dan universiti memberi kelonggaran dan pengecualian kepadanya.

Tambah Dubas, kesihatan Patrakhin menjadi tanggungjawab dan keutamaan buat fakulti dan universiti.

Seorang yang merendah diri, warga emas yang lahir sebelum perang dunia kedua itu hadir ke kelas setiap hari menggunakan tongkat.

Walaupun sudah menimba banyak pengalaman, dia mengakui subjek komputer merupakan silibus paling sukar buatnya.

Tetapi dia bersyukur kerana rakan sekelas yang kebanyakannya 70 tahun lebih muda darinya sanggup dan ringan tulang membantunya dalam apa kondisi sekalipun.

Jika tiada halangan lain, Patrakhin dijangka tamat pengajian pada usia 95 tahun.