GARA-GARA kerap diberi rating yang rendah, sekumpulan pemandu perkhidmatan Uber dan Grab bertindak memboikot pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi yang dikatakan 'banyak songeh'.

Dalam satu luahan yang tular di laman sosial sejak semalam, seorang pemandu mendakwa terkilan apabila rating yang rendah diberikan pelajar atas alasan mereka menggunakan kereta buatan tempatan.

Semuanya bermula selepas seorang pengguna Facebook yang juga pemandu perkhidmatan Uber dan Grab, menerima rungutan daripada pelajar sebuah universiti awam yang mendakwa sukar mendapatkan pemandu di kawasan kampus.

Selepas diselidik, rupa-rupanya ia berpunca daripada sikap pelajar itu yang kerap memberikan rating yang rendah kepada pemandu, dan lebih mengecewakan rating yang rendah diberi berdasarkan kereta yang digunakan.

Luahan seorang pemandu yang rancak dikongsi di laman sosial.
"Saya tanya, dia kerap bagi satu bintangkah? Katanya dia dan rakan-rakan beri rating paling tinggi empat bintang sebab kereta Honda Civic baru.

"Kalau kereta nasional, semua satu bintang. Kereta Grab atau Uber Almera pun dapat dua bintang sebab tak glamor," tulis pemandu berkenaan.

Susulan daripada luahan itu, beberapa pemandu lain turut berkongsi pengalaman yang hampir sama, dengan menyasarkan pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam yang terletak di utara tanah air.

"Ambil pelajar di kawasan kampus universiti itu menjadi punca rating keseluruhan saya jatuh," tulis seorang pemandu, Mohd Izzuwan.

"Saya pernah diberi rating satu bintang walaupun saya tak minta bayaran, memandangkan jarak lokasi yang dituju itu sangat dekat.

"Tapi demi tugas, saya ambil juga. Terkilan apabila akhirnya dia beri saya satu bintang saja," luah seorang lagi pemandu, Haidir Adi Amin.

Luahan para pemandu itu menerima reaksi yang pelbagai daripada netizen, khususnya para pelajar sendiri. Rata-ratanya meminta golongan pelajar yang cerewet ini agar menghentikan perbuatan mereka kerana kesannya akan dirasai orang lain juga.

"Perbuatan anda menyebabkan pengguna lain tak dapat menggunakan Grab dan Uber pada waktu terdesak. Tolong jangan mementingkan diri," tulis Aizani Karmila.