PEMINAT legenda papan selaju Malaysia, Ahmad Fadzil Musa ataupun dikenali dengan nama Pa’din Musa mula beratur seawal jam lapan pagi di hadapan kedai kasut Vans untuk membeli kasut signature colorway ataupun edisi khas Pa’din Musa.

Antara tempat yang menjadi tumpuan adalah di pusat beli belah Suria KLCC dan kedai pengedar rasmi lain di sekitar Lembah Klang yang turut menerima puluhan serta ratusan peminat Pa’din yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkan kasut edisi khas itu.

Orang ramai beratur panjang beberapa jam sebelum kedai buka untuk mendapatkan kasut signature colorway Vans Padin Musa. Gambar - Nizar Hashim.

Edisi khas ataupun signature colorway Pa’din itu habis dijual pada hari pelancarannya semalam di kebanyakan kedai dari Pulau Pinang sehinggalah ke Singapura.

Pa’din merupakan orang Malaysia pertama yang mempunyai kasut edisi khas keluaran syarikat kasut dan pakaian yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

Ada juga yang sudah mula menjual kasut tersebut dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran.

Fenomena ini juga turut dikongsi di media sosial.