AKIBAT marah dan geram apabila mengetahui bungkusan yang diletakkan petugas pos di anjung rumah sering dicuri individu tidak bertanggungjawab, seorang bekas pekerja Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) bertindak untuk menghasilkan sebuah bom serbuk gemerlap untuk membalas dendam.

Mark Rober yang merupakan seorang pereka dan aktif di YouTube, beralih ke media sosial untuk berkongsi masalahnya, selepas rakaman kejadian kecurian dari kamera litar tertutup yang dibawa kepada pihak polis, gagal mendapat sebarang tindakan keadilan.

"Perangkap ini dibina, dan kelihatan seperti sebuah pembesar suara jenama Apple. Tetapi ia memiliki ciri rahsia, iaitu kamera dan kejutan letupan.

Serbuk yang berkilauan diletakkan di bahagian tengah 'bom' itu, dengan mekanisme pusaran laju.

"Perangkap ini juga memiliki semburan berbau busuk setiap 30 saat selepas pakej ini dibuka, dan memiliki pengesan GPS termasuk empat telefon pintar untuk merakam reaksi pencuri.

"Usaha ini mengambil masa enam bulan," kata Rober.

Selepas berjaya membangunkan produk khas itu, Rober bersama rakannya Sean Hodgins meninggalkan perangkap itu di anjung rumahnya.

Dan pakej itu ditulis nama penerima Harry dan Marv, iaitu watak pencuri terkenal dalam filem Home Alone.

Mark Rober berkongsi kisahnya di YouTube; rakaman individu yang mencuri bungkusannya; mekanisme pusaran membuatkan serbuk gemerlap berserakan; rakaman salah seorang pencuri bungkusan yang terkejut. - YouTube/Mark Rober

Beberapa jam selepas Rober keluar bekerja, dia menerima notifikasi bahawa pakej perangkap itu sudah diambil.

Akhirnya ketika melihat sendiri rakaman bom serbuk berkilau itu meletup, ia membuktikan kejayaan Rober membalas dendam terhadap pencuri yang sering mencuri pakej di rumahnya.

Dalam beberapa eksperimen, pencuri bungkusan di rumahnya kelihatan terkejut dan terpinga-pinga apabila 'dihujani' serbuk gemerlap yang melekat di seluruh tubuh dan pakaian, dan di sekitar tempat bungkusan curi itu dibuka.

Menerusi kamera tersembunyi yang dipasang pada alat tersebut, Rober dapat melihat wajah pencuri yang membuka bungkusannya di tempat-tempat seperti di dalam kereta dan di rumah.

Rakaman visual yang menunjukkan identiti dan lokasi pencuri itu boleh digunakan untuk mengambil tindakan undang-undang seterusnya.

"Moral kepada cerita ini adalah, 'jangan ambil barang orang'," kata Rober ringkas, mengakhiri videonya.