Pendaki tertua negara, James Lee Chong Meng berkata suhu yang tidak menentu dan laluan yang sukar memberi cabaran kepadanya dalam percubaan untuk sampai ke puncak Gunung Everest.

Dalam maklumat terkini bagi tempoh dari 26 April hingga 3 Mei, Lee berkata beliau telah membuat pendakian sehingga lebih 7,000 meter antara Camp 2 dan Camp 3.

"Hari-hari yang sangat mencabar bagi pendakian yang sukar, cuaca yang sejuk terutama pada waktu malam dengan suhu boleh menurun serendah -20 darjah (Celsius). Setiap ceruk dan jurang untuk menyeberang pun amat mencabar," kata beliau.

Lee, 69, berkata ia merupakan satuj pengalaman hidup daripada situasi yang berbeza.

Pengembara itu berkata wajahnya , disebabkan terdedah kepada keadaan cuaca dan cahaya matahari yang berterusan.

Lee berkata beliau menghadapi masalah ungtuk menghantar rakaman video mengenai misinya ke tanah air disebabkan talian komunikasi yang rapuh.

Semasa percubaan pertama ungtuk mendaki Gunung Everest pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan pendakian di peringkat akhir di Camp 3 pada ketinggian 7,200 meter akibat cuaca buruk.

Gunung Everest ialah gunung yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,848 meter.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ialah rakan media misi tersebut yang dikenali sebagai Ekspedisi Gunung Everest Lions (MEE) 2017, anjuran Kelab Lions Port Dickson Pantai.

Lee membawa dua mesej penting iaitu untuk memberi inspirasi kepada rakyat di semua peringkat umur bagi memanfaatkan kesihatan yang baik untuk aktif dalam masyarakat, dan untuk menarik perhatian kepada perlunya memelihara alam sekitar.

-- BERNAMA