APA tindakan anda jika menemui seekor lipas di mana-mana premis?

Buang atau hapuskannya sendiri, paling tidak pun, cari penyembur penghapus serangga.

Tetapi bagi seorang penduduk di sebuah kawasan di Singapura, dia mempunyai idea yang berbeza, iaitu menghantar emel kepada seorang wakil rakyat untuk meminta bantuannya mengeluarkan lipas itu.

Hal itu dikongsi Baey Yam Keng, seorang Ahli Parlimen di kawasan Tampines North, di akaun Facebooknya.

Baey turut memuat naik emel yang dihantar individu itu, yang identitinya dirahsiakan.

Lebih menarik, individu terbabit turut menghantar gambar lipas yang ditemuinya.

"Saya sudah menghubungi Majlis Bandaraya, tetapi wakil yang dijanjikan belum sampai dan saya sudah menunggu dua jam.

"Bolehkah saudara datang dan mengeluarkan lipas ini? Juga, talian di jabatan saudara sangat sukar untuk ditembusi," itu yang tertulis dalam emel berkenaan.

Memberi jawapan kepada emel itu, Baey memaklumkan beliau sedar ada dua isu besar yang tersirat, iaitu roach infestation dan perlunya memperbaiki talian aduan di jabatannya.

"Terima kasih kepada penduduk itu yang bersusah payah menghubungi talian hotline dan memantau pergerakan lipas itu serta mengambil gambarnya," tulis Baey.