Tutup

Pengembaraan 18,200km London-KL, Aini Mydin bukti usia bukan penghalang

Pengembaraan 18,200km London-KL, Aini Mydin bukti usia bukan penghalang
Aini Mydin mengakui pada mulanya beliau gentar untuk memulakan eksplorasi solo berkenaan. - Foto Aini Mydin
NYATA, umur bukanlah penghalang untuk seseorang mencapai impiannya.

Berbekalkan keazaman yang tinggi, Aini Mydin, 60 tahun mengembara secara solo dari kota London ke Kuala Lumpur selama dua bulan dengan menaiki keretapi.

Semangat pengembaraan itu, menurut Aini, tercetus selepas pemergian adiknya pada usia 60 tahun.

“Saya ingin melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menyambut hari ulang tahun saya yang ke-60,” kata Aini, yang sudah lama menetap dan bekerja di London.
Pada awalnya, Aini mengakui merasa gentar dan tidak pasti sama ada dia benar-benar mempunyai kekuatan mental untuk mengembara secara solo.

Apatah lagi, Aini mengalami kecederaaan di lutut dan terpaksa memakai alat bantuan prostetik.
“Saya memang tidak menyukai perasaan sunyi sepi. Walaupun rasa takut, saya mahu mengatasi perasaan itu dengan melakukan pengembaraan ini.”

Dari London, Aini menaiki keretapi Eurostar ke Jerman, dan seterusnya ke Rusia. Di sana, dia menaiki keretapi ke Beijing, China melalui Trans-Siberia, laluan keretapi paling panjang di dunia.

Bukan perkara mudah untuk berkelana seorang diri ke Rusia, kata Aini. Dia menceritakan insiden dibuli pengembara lain kerana tidak memahami dan bertutur bahasa Rusia.

“Mereka sengaja menyorok bagasi saya,” kata Aini.

Kembara London-KL

Beliau turut mendakwa ditipu oleh sindiket teksi palsu ketika penjelajahan ke Shanghai. Dia hampir berputus asa apabila mendapati hostel yang didudukinya merupakan ‘hotel pelacuran’ dan rakan yang berjanji untuk membantunya tidak muncul.

“Ia merupakan malam sebelum Hari Raya. Saya berasa sangat sedih sekali,” kata Aini.

“Saya hampir-hampir beli tiket penerbangan untuk pulang. Namun, saya memberitahu diri bahawa saya perlu nekad menamatkan pengembaraan ini.”

Selepas melalui perjalanan 18,200km menerusi 10 laluan keretapi, Aini akhirnya tiba di Kuala Lumpur pada September 2016.

Apa yang membanggakan lagi, warga Pulau Pinang ini memakai jersi Harimau Malaya apabila tiba di setiap destinasi.

Segala pengalaman pahit dan manis Aini diceritakannya dalam buku ‘Aini’s Railway Odyssey’. Buku yang diterbitkan oleh Gerak Budaya itu kini dijual kepada orang ramai.

‘Mesej saya kepada sesiapa yang ingin mengembara, penjelajahan apa-apa pun, sama ada melalui keretapi atau tidak, merupakan satu penjelajahan untuk mengenali diri sendiri.”

“Mungkin ada yang berpendapat, saya terlalu berusia untuk melakukan pengembaraan ini. Namun, saya mahu buktikan umur bukan penghalang untuk mengecapi impian.”

KL-London Kembara
 


Saksikan wawancara penuh dengan Aini Mydin di AWANI Review.