Penghidap kanser tahap empat pejuang nasib anak CP

Penghidap kanser tahap empat pejuang nasib anak CP
MyCP percaya sokongan perlu wujud dalam apa jua bentuk - Foto AWANI Rangers
BANGI: Seorang ibu yang juga penghidap kanser sanggup mengenepikan keperluan sendiri demi kelangsungan hidup anak palsi serebral (CP) di seluruh negara.

Zatul Hejanah Abdulila yang menghidap kanser payudara tahap empat, berkata, tidak pernah wujud erti 'sakit' dalam kamus hidupnya dalam memperjuangkan nasib golongan berkenaan apatah lagi beliau turut dikurniakan anak istimewa itu.

Menurut Zatul Hejanah merangkap Pengerusi Malaysian Advocates for Cerebral Palsy (MyCP), beliau percaya sokongan perlu wujud dalam apa jua bentuk kerana cabaran terbesar memelihara anak CP adalah untuk memenuhi keperluan asas dan menyediakan kemudahan mengikut kesesuaian mereka bagi membantu kanak-kanak tersebut mencapai potensi yang optimum.

“Kesedaran rakyat Malaysia mengenai CP sangat rendah sehingga wujud pelbagai persepsi negatif kepada golongan ini. Walaupun bahagian otak anak CP yang cedera tidak boleh dirawat, bagaimanapun bahagian otak lain boleh dilatih untuk mengambil alih fungsi otak yang cedera.

“Rawatan awal untuk pemulihan dapat mengurangkan komplikasi CP dan berkemungkinan membolehkan individu CP lebih berdikari serta mempunyai kualiti hidup lebih baik pada masa hadapan. Ini termasuk terapi, rawatan alternatif dan penggunaan peralatan rehabilitasi serta alat bantuan lain.
“Menjaga anak CP adalah perjalanan seumur hidup yang memerlukan kekuatan fizikal, mental dan kewangan yang kukuh. Kos perubatan untuk anak CP mencecah 10 kali ganda berbanding anak normal,”katanya.

Tidak pernah wujud erti 'sakit' dalam kamus hidupnya dalam memperjuangkan nasib anak CP - Foto AWANI Rangers

Mengulas mengenai anaknya, Dalili Sofiya Zulfikri yang juga menghidap CP, Zatul berkata, Dalili Sofiya atau mesra dipanggil Oya dikesan mengalami gangguan saraf sejak lahir.

Meskipun anak kedua ini sekarang berumur 12 tahun, namun perkembangan otaknya adalah pada usia enam tahun dan memerlukan lebih perhatian dari segi pembelajaran serta keperluan psikologi.

Pelbagai aktiviti boleh dijalankan untuk meransang otak anak CP bagi membantu pertumbuhan mereka - Foto AWANI Rangers

“Oya adalah sumber kekuatan saya dan melihat wajahnya membuatkan saya lupa akan kesakitan yang ditanggung. Jika berlaku sesuatu kepada saya, saya berharap keluarga termasuk masyarakat dapat menjaga Oya sebaik mungkin.

“Impian saya adalah untuk melihat masyarakat tidak mengasingkan anak CP ini selain berharap peluang pendidikan diberikan secara sama rata seperti anak-anak lain supaya kami sebagai ibu bapa tidak bimbang masa depan mereka,”katanya lagi.

Art of Music merupakan program yang menampilkan bakat anak CP - Foto AWANI Rangers

Baru-baru ini, satu konsert amal ‘Art of Music’ anjuran sekumpulan siswazah Pengurusan Perniagaan (MBA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Graduate School of Business (UKM-GSB) diadakan bertujuan mengumpul dana menerusi jualan tiket yang disumbangkan kepada MyCP.

Dekan UKM-GSB, Prof. Madya Dr. Puan binti Yatim, berkata, konsert amal dengan kerjasama Pusat PERMATApintar® Negara, UKM ini juga dianjurkan bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai CP.

“45 persembahan diadakan dalam masa tiga jam tanpa henti selain selingan perkongsian maklumat mengenai CP, Art of Music ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan penonton selain memberi nilai tambah kepada peserta yang membuat persembahan,”katanya.

Kemuncak persembahan adalah penampilan kanak-kanak yang menghidap CP yang menunjukkan bakat masing-masing dengan bercerita, menyanyi dan menggerakkan tubuh badan.


* Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Shahmie Aiman Sabarudin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

Tag: Shahmie Aiman Sabarudin, UKM, AWANI Rangers, AWANIRangers


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.