Tutup

Pentas KLFW kembali, fokus kepada pereka fesyen tanah air - Pengasas KLFW

Pentas KLFW kembali, fokus kepada pereka fesyen tanah air - Pengasas KLFW
Barisan model yang memperagakan koleksi pakaian pereka fesyen tanah air ketika majlis sidang media KLFW. - Astro AWANI / Asyraf Roslan
BAGI peminat industri fesyen tanah air, sudah pasti bulan Ogos antara bulan yang paling dinantikan.

Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) kini kembali buat tahun ketujuh bagi meraikan bakat-bakat pereka fesyen Malaysia.

Pengasas KLFW, Andrew Tan menyatakan apa yang memberi kelainan setiap tahun ialah rekaan yang ingin ditonjolkan oleh pereka fesyen tanah air.

"Jika bercakap mengenai kelainan, apa yang kita ingin lihat ialah apa yang akan dibawakan oleh pereka fesyen setiap kali KLFW berlangsung kerana itu yang mereka perlu jual," katanya selepas sidang media KLFW yang berlangsung di Platinum Park Skyviews, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambahnya, pentas KLFW 2019 tahun ini lebih memfokuskan kepada pereka fesyen tanah air berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana mereka turut membawa masuk beberapa jenama luar.

"Tahun ini kita memberi fokus kepada pereka fesyen tanah air, kerana mereka KLFW merupakan platform besar untuk mereka. Jadi kami akan memberi fokus kepada mereka.
"Untuk tahun hadapan pula, sempena tahun melawat Malaysia, kami ingin memperkenalkan Malaysia kepada dunia, jadi kami akan bawa dunia ke Malaysia dan saya berharap kami dapat membawa semula negara-negara ASEAN, Asia Selatan dan Asia Pasifik untuk memeriahkan pentas KLFW tahun hadapan," katanya.

Tahun ini, KLFW akan menampilkan lebih 80 pereka fesyen berbakat antaranya Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Fizi Woo, dan Alia Bastamam.

Antara pereka fesyen baharu yang akan turut serta dalam pertunjukan kali ini ialah  Behati, Maqilla, BEV C dan TNTCO.

Apa yang lebih menarik, tahun ini H-Live, Gempak TV dan saluran Astro Ria juga akan menjadi rakan penyiar rasmi bagi acara gilang-gemilang tersebut.

KLFW 2019 bakal berlangsung pada 21 hingga 25 Ogos ini di Pavilion, Kuala Lumpur.