Kemalangan yang membabitkan sebuah kereta yang terjunam ke laut di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Ada yang marah dengan tindakan cuai pemandu yang terbabit dan ada yang tertanya-tanya apakah perkara yang perlu dilakukan sekiranya situasi itu terjadi kepada diri sendiri?

Berikut ialah tips dikongsikan di laman Youtube Tech Insider yang tular dan boleh dimanfaatkan:

1. Jangan panik.

Kereta yang terjunam ke dalam air (sama ada laut, tasik mahupun sungai) tidak akan terus tenggelam serta-merta.

Ia mengambil sedikit masa, tetapi memerlukan ketenangan fikiran sebelum bertindak kerana peluang masih terbuka untuk sesiapa sahaja selamatkan diri.


2. Buka tali pinggang keledar, cuba keluar dari kenderaan.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah jangan sesekali cuba membuka pintu kerana ia akan mempercepatkan kereta tenggelam serta tekanan kuat yang ada ketika dalam air menyebabkan usaha ini amat menyusahkan.

3. Buka tingkap dan keluar.

Sekiranya sistem kenderaan masih berfungsi, berusahalah untuk membuka tingkap seluas-luasnya dan keluar daripada kereta anda.

Jika tidak, anda boleh pecahkan cermin kereta dengan mensasarkan cermin di bahagian tepi.

Jangan cuba memecahkan cermin hadapan kerana ia telah dicipta untuk melawan impak kuat.

Mungkin kaedah tendangan tidak cukup kuat untuk pecahkan cermin kereta anda, tetapi anda boleh juga gunakan kunci stereng atau besi pada bahagian tempat duduk untuk pecahkan cermin kereta.

Semua tindakan ini perlu dilakukan dengan pantas bagi mengelak anda terus terperangkap dalam kereta yang mungkin menyebabkan kematian.