announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Persembahan dikir barat Terengganu lakar nama dalam MBOR

Persembahan dikir barat Terengganu lakar nama dalam MBOR
Ariffin (berkopiah, putih) bersama peserta pendikir muda meraikan kejayaan selepas diiktiraf 'The Largest Multilingual Dikir Barat Performance' oleh MBOR pada Himpunan Pendikir Muda 2020 di Stadium Tertutup Gong Badak, 15 Feb, 2020. --fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Himpunan Pendikir Muda 2020 yang membuka tirai Kalendar Pelancongan Terengganu tahun ini berjaya melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi 'Persembahan Dikir Barat Pelbagai Bahasa Terbesar'.

Persembahan yang disertai 2,020 pendikir muda itu berlangsung selama sejam tanpa henti dengan lapan bahasa iaitu bahasa Melayu, Hindi, China, Jepun, Jawa, Inggeris, Thai dan Arab.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pegawai Penyelidik MBOR, Nurul Fatihah Mahmood kepada  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman selepas tamat persembahan tersebut yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Nurul Fatihah ketika mengumumkan perkara itu berkata pihaknya berpuas hati dengan persembahan tersebut yang disertai 2,020 pendikir muda dengan lapan bahasa untuk diiktiraf dalam MBOR bagi Persembahan Dikir Barat Pelbagai Bahasa Terbesar.

Sementara itu, Ariffin berkata idea Himpunan Pendikir Muda 2020 mula tercetus susulan kejayaan penganjuran Pertandingan Dikir Barat Sekolah-Sekolah negeri Terengganu pada 2018 dan 2019.

"Melihat sambutan luar biasa daripada sekolah yang terlibat, maka kerangka kerja disusun sebagai tanda aras pencapaian dalam penganjuran program dikir barat dan ia berjaya direalisasikan.

"Semoga pengiktirafan ini akan menyemarakkan lagi seni budaya warisan kita yang diharap dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat agar lebih cintakan seni budaya negara," katanya.

Himpunan Pendikir Muda itu adalah antara 26 aktiviti dalam Kalendar Pelancongan Terengganu tahun ini selain 114 program berskala lebih kecil untuk menggamit kedatangan pelancong ke Terengganu pada tahun ini.

Persembahan yang melibatkan 68 sekolah, tiga institusi pengajian tinggi awam dan 12 kumpulan pendikir belia itu telah memulakan latihan sejak dua bulan lalu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggiat Seni Dikir Negeri Terengganu, Sulizi Che Awang berkata pengiktirafan itu meningkatkan lagi semangatnya dan pendikir muda khususnya di Terengganu untuk terus mengangkat martabat dikir barat.

"Kami lihat semua peserta yang terdiri daripada generasi muda sangat bersemangat sepanjang mengadakan latihan untuk persembahan ini.

"Paling penting, kami berjaya buktikan bahawa dikir barat bukan hanya untuk dilagukan dalam Bahasa Melayu malah ia boleh dijadikan platform untuk mempromosikan keindahan warisan budaya Malaysia kerana semua bahasa dan lagu mana-mana negara boleh dinyanyikan," katanya.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Oh Carol (Inggeris), Ramadan (Arab), Kojonotsuki (Jepun), ABCDEFG dan Zara Sa Jhoom Loom Min (Hindi), Wo A Teni (Cina) dan Cha Rak Ter (Siam).

-- BERNAMA