MENGAPA manusia mudah terdedah dan terus alah kepada pelbagai bakteria, virus serta organisma mikro yang dibawa binatang?

Dalam sejarah, timbul kecemasan taraf global apabila wabak melanda dan manusia jatuh sakit. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan jumlah korban yang banyak dan mengambil masa panjang untuk reda sebelum penularan dapat dikawal.

Terkini, dunia sedang mengalami darurat kesihatan akibat penularan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) yang dikesan berpunca dari pasar haiwan kota Wuhan di Wilayah Hubei, di tengah negeri China.

Virus 'melompat' dari haiwan ke manusia

Dalam jangkamasa 50 tahun kebelakangan ini, beberapa penyakit berjangkit telah tersebar setelah `melompat’ antara spesis – dari haiwan kepada manusia.

Krisis HIV/Aids pada tahun 1980an berpunca dari kera besar (great apes) dan wabak selesema burung atau avian influenza (2004-2007) berpunca dari burung. Khinzir pula yang menjadi punca wabak selsema babi pada 2009.

Siapa tidak ingat tidak beberapa lama dahulu kelawar dengan musang sebagai pengantara dikesan penyebab sindrom pernafasan SARS (severe acute respiratory syndrome). Kelawar juga dikesan punca wabak Ebola di Afrika.

Menurut satu laporan Badan Penyiaran British (BBC), manusia sememangnya secara semulajadi terdedah kepada jangkitan penyakit yang berpunca dari haiwan.

Alam tercemar, gaya hidu[ dan selera pelik undang penyakit

Proses ini semakin kerap dan mudah terjadi akibat perubahan alam sekitar dan gaya hidup yang berubah.

Dari kampung ke bandar manusia membawa gaya hidup baru yang melibatkan hidup sesak dalam keadaan berhimpit-himpit.

Kemudahan pengangkutan dan kecenderungan penjelajahan bermakna manusia lebih terdedah kepada penularan dan jangkitan yang semakin berleluasa.

Timbul pelbagai cerita – ada yang benar dan ada yang ditokok tambah, bagaimana terdapat individu dari negara tertentu sengaja `mencari nahas’ memilih makanan dari menu dalam hutan.

Patogen wujud dalam haiwan, tunggu peluang dan masa pindah ke manusia

Tambah laporan itu, kebanyakan haiwan secara azali membawa patogen atau bakteria dan virus yang menjadi hos kepada kuman punca penyakit.

Ciri untuk kesinambungan patogen ini begantung kepada kebolehan mencari dan menyerang `tuan rumah’ atau hos baharu.

Kesinambunang tercapai melalui `lompatan’ dari spesis ke spesis.

Apabila in berlaku, sistem imunisasi hos terbaharu akan mempertingkatkan pertahanan untuk membunuh patogen penyerang.

Dalam dunia biologi dan epidemiologi, `perbalahan’ ini menjadi bahan kajian dalam usaha memahami punca, pemahaman dan rawatan pelbagai penyakit.

Kerja penyelidikan amat penting bagi mengekang virus yang baru muncul. Pada awal kemunculan wabak SARS, kadar kematian kalangan mereka yang dijangkiti berada pada tahap 10 peratus. Ini berbanding dengan 0.1% kadar kematian bagi wabak selesema biasa.

Perubahan alam sekitar jejas keseimbangan

Perubahan alam sekitar dan cuaca menjejaskan habitat, pergerakan dan pemakanan bukan hanya manusia tetapi juga haiwan.

Lebih dari 55% manusia sekarang tinggal di kota berbanding hanya 35%, 50 tahun lalu.

Setiap ceruk kota menjadi `rumah’ bagi pelbagai haiwan termasuk tikus, tupai, musang, burung, rubah dan monyet.

Padang terbuka serta semak samun amat sesuai sebagai habitat dan makanan mudah diperolehi dari sampah lambakan manusia.

Hidup yang mudah dan makanan yang banyak menjadikan spesis haiwan – yang menjadi hos pelbagai virus, bakteria dan patogen, hanya menunggu masa untuk meledak wabak.