LEBIH 4,000 pengunjung memeriahkan acara PlayStation Experience South East Asia 2017 (PSX17SEA) yang berlangsung pada Sabtu di KL Live di ibu kota.

Peminat mula beratur sejak awal pagi lagi bagi menyertai PSX17SEA yang dianjurkan Sony Interactive Entertainment Hong Kong Limited Singapore Branch (SIES).

Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI pada pukul 8 pagi semalam, peminat dilihat beratur sehingga di kaki lima Wisma Genting iaitu kira-kira 1 kilometer (km) dari lokasi acara yang dianjurkan.

Antara pengunjung yang beratur untuk menyertai PSX17SEA di KL Live  - Foto Astro AWANI Mariah Ahmad
Menurut Ketua Pengurusan Produk SIES Arata Naito, peningkatan pasaran permainan video di Malaysia menjadi faktor negara menjadi lokasi pilihan yang pertama Asia Tenggara untuk menganjurkan acara PlayStation Experience ini.

"Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai peningkatan pasaran video yang paling pantas di rantau Asia Tenggara.

“Selain itu, faktor sumbangan studio permainan video tempatan kepada pasaran permainan video Sony juga antara sebab Malaysia menjadi lokasi pilihan," kata Naito dalam satu sesi taklimat bersama media di Fraser Place, semalam.

Peminat di Malaysia sememangnya teruja apabila negara diumumkan sebagai lokasi PlayStation Experience.

Kata kunci #PSX17SEA turut trending di Malaysia.

Pelbagai permainan video PlayStation 4 dan PlayStation VR disajikan semalam bagi peminat merasai sendiri kehebatan grafik dan jalan penceritaannya.

Antaranya Monster of the Deep: Final Fantasy XV, Marvel vs Capcom Infinite, Gran Turismo Sport, Far Cry 5, Dragon Ball Fighter Z, dan Knack 2.

PSX17SEA turut menyediakan platform Game Stage Events iaitu satu perkongsian di sebalik tabir oleh pihak pembangun atau wakil daripada syarikat permainan video.

Antara yang hadir termasuklah Kazunori Yamauchi (GT Sport), Ryozo Tsujimoto (Monster Hunter: World), Tomoaki Ayano dan Kansuke Sakurai (Marvel vs. Capcom Infinite) and Wan Hazmer (Monster of the Deep: Final Fantasy XV.)

Ketua Pereka Wan Hazmer Monster of the Deep: Final Fantasy XV mengambil gambar bersama peminat selepas sesi Game Stage Event. - Foto Facebook PlayStation Asia
PlayStation Experience mula diadakan di Las Vegas pada 2014 dan sejak itu ia menjadi acara yang dinanti-nantikan peminat PlayStation di seluruh dunia.

PlayStation 4 merupakan antara konsol permainan video pilihan utama di Malaysia dan setakat Jun tahun lalu, jualan konsol tersebut melepasi 60.4 juta unit di seluruh dunia.